Pelumba muda Negara Hayden Haikal akan bersaing di perlumbaan Thailand Super Eco di Litar
Antarabangsa Buriram Chang bagi mengejar kejuaraan antarabangsanya yang pertama. Anak muda yang berusia 18 tahun ini yang telah meraih dua kemenangan dan menduduki tempat ketiga sebanyak tiga kali selepas enam perlumbaan dan kini berada di kedudukan kedua keseluruhan di dalam kejuaraan tersebut. Beliau hanya 20 mata dibelakang pelumba Thai Na Dol Vatanatham yang mengumpul 105 mata.
Prestasi dan keputusan perlumbaan kedua-dua pelumba hampir sama namun Vatanatham mempunyai
kelebihan satu kemenangan manakala Hayden gagal memperolehi sebarang mata selepas Honda Brio
yang dipandunya mengalami masalah teknikal di pusingan kedua kejuaraan tersebut.
“Dari segi kiraan mata saya mempunyai peluang yang baik untuk bersaing memenangi kejuaraan
keseluruhan Thailand Super Eco tetapi ini bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi berdepan
dengan saingan yang begitu hebat. Saya akan menumpukan fokus sepenuhnya kepada kedua-dua perlumbaan hujung minggu ini,”
kata Hayden yang berazam membawa balik kejuaraan keseluruhan namun mengakui akan tetap berpuas hati sekiranya habis ditempat kedua memandangkan ini kali pertama beliau bersaing di perlumbaan antarabangsa.
Dua pusingan terakhir perlumbaan Thailand Super Eco melibatkan dua perlumbaan berasingan sebanyak
12 pusingan pada hari Sabtu dan Ahad (10 dan 11 Disember). Seramai 23 pelumba akan bersaing dan
Hayden merupakan satu-satunya wakil pelumba asing yang menyertai. Walaupun berlumba di Thailand untuk kali pertama, prestasi Hayden begitu menyerlah apabila beliau secara konsisten menghabiskan setiap perlumbaan di tiga tempat teratas. Perlumbaan Thailand Super Eco diadakan di litar jalan raya khas Bangsaen dan juga di Litar Antarabangsa Buriram Chang.
Berbekalkan pengalaman lima tahun berlumba di kejuaraan Vios Challenge di Malaysia, Hayden
bagaimanapun tidak gentar apabila beliau memenangi tempat kedua pada perlumbaan pertama beliau
di litar jalan raya Bangsaen pada bulan Jun. Secara keseluruhan tahun ini turut membawa banyak kejayaan kepada Hayden yang turut bergelar juara keseluruhan kategori Super Sporting bagi pelumba-pelumba profesional di dalam Kejuaraan Vios Challenge, dan baru-baru ini menghabiskan perlumbaan Sepang 1000KM di tempat kedua keseluruhan.
“Saya tidak sangka yang saya akan berada diposisi untuk bersaing untuk kejuaraan keseluruhan Thailand Super Eco. Tujuan asal saya berlumba di Thailand adalah sekadar mencari pengalaman yang dapat saya gunakan untuk terus berkembang sebagai seorang pelumba.
Pelumba muda Negara, Hayden Haikal.
Saksikan perlumbaan yang akan disiarkan secara langsung di laman Facebook dan Youtube Thailand Super Series atau di laman web www.thailandsuperseries.net.
Jadual Perlumbaan THAILAND SUPER ECO (Waktu Malaysia)
Sabtu, 10 Disember 2022 2.30 pm – 3.00 pm
Ahad, 11 Disember 2022 9.55 am – 10.25 am