Keberanian Luar Biasa Usahawan Muda: Ali Imran Bina Pasukan FNF Motorsports Dalam Masa Satu Minggu!

SEPANG – Sukan permotoran tanah air menyaksikan kejutan paling dramatik tahun ini apabila usahawan muda, Ali Imran, membuktikan statusnya apabila berjaya memiliki sebuah pasukan perlumbaan yang lengkap pada usia baru 33 tahun!

Lebih mengagumkan, keseluruhan empayar perlumbaan FNF Motorsports ini dibina daripada ‘kosong’ dalam tempoh satu minggu sahaja sebelum beliau berlumba di saingan GR86 Cup bersempena Malaysia Touring Car Championship (MTCC) Pusingan 3 yang lalu. Ia adalah bukti nyata bagaimana minda strategik seorang usahawan muda mampu menterjemahkan impian menjadi sebuah realiti profesional sepantas kilat.

Detik Permulaan & Pengalaman Pertama Di Litar

Segalanya bermula apabila pelumba Ralli Perlis, Azrul Azhar, memperkenalkan Ali kepada Azman (Longman) dari LMC Racing. Ali pada awalnya dibawa menguji Toyota GR86 harian miliknya di acara Track Day Sepang bagi merasai pengalaman dan dinamik pemanduan di atas litar. Namun, tiada siapa menyangka acara Track Day tersebut menjadi pencetus kepada sebuah projek mega.

Langkah Drastik: Melabur Membeli Jentera Lumba GR86 Spesifikasi Litar

Pengalaman pertama itu mencetuskan impak yang sangat besar. Ali tidak menunggu lama dan mengambil keputusan berani dalam tempoh seminggu itu juga. Beliau tidak menggunakan kereta harian tersebut untuk berlumba, sebaliknya melabur untuk membeli sebuah jentera lumba GR86 (spesifikasi perlumbaan litar sepenuhnya) dan secara rasmi menubuhkan FNF Motorsports!

Dalam tempoh 7 hari yang kritikal itu, struktur pasukan gergasi ini berjaya diperkukuhkan oleh nama-nama besar industri:

  • Longman (LMC Engineering): Bertindak sebagai Race Engineer (Jurutera Perlumbaan).
  • Azrul Azhar: Menggalas tanggungjawab sebagai Team Manager (Pengurus Pasukan).
  • Faidzal Alang: Pelumba ‘Senior’ tanah air, dibawa masuk sebagai jurulatih.

Drama Di Litar & Kerjasama Pasukan

Ujian sebenar tiba dua hari sebelum perlumbaan, apabila jentera perlumbaan baharu yang baru sahaja dibeli itu dilanggar dari arah belakang semasa sesi Track Day. Di sebalik tekanan tinggi yang dihadapi oleh pasukan yang baru berusia beberapa hari ini, kecekapan teknikal krew berjaya memulihkan semula kerosakan jentera tepat pada masanya.

Demi memantapkan lagi strategi dan peluang perlumbaan, jurulatih beliau, Faidzal Alang, akhirnya diangkat sebagai pemandu kedua (second driver) untuk berganding bahu bersama Ali di atas litar.

Walaupun ditubuhkan dalam masa satu minggu, FNF Motorsports hadir dengan penjenamaan yang sangat gah dan tidak tangkap muat. Menggunakan pendekatan korporat, Ali memastikan pasukannya dilengkapi dengan team media sendiri untuk dokumentasi visual yang mantap, serta kehadiran rasmi gadis litar (grid girls) di petak pemula (starting grid) yang menaikkan lagi nilai komersial pasukan ini.

Kejayaan Anak Muda Di Garisan Penamat

Sebagai penampilan sulung dan kali pertama mengendalikan jentera lumba sebenar, Ali meletakkan sasaran yang sangat realistik—iaitu menamatkan perlumbaan dengan selamat. Hasil ketenangan Ali dan bimbingan Faidzal Alang, jentera GR86 mereka berjaya melepasi garisan penamat dengan jayanya.

Kejayaan ini amat bermakna kerana pada usia muda 33 tahun, Ali Imran bukan sahaja bergelar pelumba, malah berjaya mempunyai sebuah pasukan yang lengkap, profesional, dan kompetitif untuk bertanding di dalam kejuaraan berprestij MTCC hanya selepas seminggu membuat keputusan!

Gerik Megatrail 7.0: Brotherhood, Cabaran & Operasi Recovery Penuh Drama

Gerik Megatrail 7.0 sekali lagi menghimpunkan komuniti off-road dari seluruh negara untuk mengharungi cabaran trek hutan dan laluan ekstrem di bumi Hulu Perak. Antara yang turut serta ialah TimPinz yang menghantar dua buah jentera iaitu Cherokee dan Pinzgauer, bergabung bersama Team MyLandy dalam kumpulan terakhir iaitu Group 10.

Hari pertama dimulakan dengan sesi perlepasan di Lapangan Terbang Gerik sebelum semua peserta memulakan perjalanan menuju Pos Khemar untuk bermalam. Laluan awal yang dipenuhi trek balak, lumpur dan sungai menjadi pembuka tirai kepada ekspedisi penuh adrenalin ini.

Perjalanan diteruskan pada hari kedua menuju ke Pos Piah. Namun suasana bertukar cemas apabila sebuah Land Rover 110 daripada kumpulan lain dilaporkan terjatuh ke dalam gaung sedalam anggaran 50 meter. Team MyLandy segera mengatur bantuan teknikal dan logistik bagi menjalankan operasi recovery untuk mengeluarkan kenderaan tersebut.

Operasi menyelamat melibatkan beberapa jentera utama termasuk Ford Ranger milik Bro Alvin CT yang dilengkapi Toureq Winch, Land Cruiser milik Tn Khyril Faizi Amdan dengan PTO Winch serta Pinzgauer 6×6 milik Tn Mohd Hanif Husain menggunakan Warn 8274. Bantuan tambahan turut diberikan oleh Land Rover 110 milik Nasrol Alias dan Cherokee milik Max bagi tujuan anchoring sepanjang operasi berlangsung.

Kerja recovery bermula sekitar jam 7.30 malam pada 10 Jun 2026 dan berterusan sehingga awal pagi. Dalam keadaan semua sedang fokus melakukan winching, satu lagi cabaran berlaku apabila tepat jam 4.17 pagi, brek pada Warn 8274 pula terbarai. Mujur ketika itu kenderaan yang ditarik sudah berada di kawasan yang agak rata.

Walaupun berdepan masalah tersebut, team tidak berputus asa. Dalam keadaan gelap dan berlumpur, semua mula mencari komponen winch yang bertaburan di atas tanah bagi cuba membaiki semula sistem tersebut. Selepas mengkaji kerosakan dan hasil bantuan pengalaman daripada rakan-rakan lain yang pernah menggunakan Warn 8274, winch tersebut akhirnya berjaya dipasang semula dan masih boleh digunakan sehingga operasi recovery selesai pada jam 12.30 tengah hari, 11 Jun 2026.

Walaupun berdepan keletihan, penggunaan bahan bakar yang tinggi serta beberapa peralatan recovery yang mengalami kerosakan, semua perkara itu diketepikan demi memastikan misi dapat diselesaikan dengan selamat. Operasi ini bukan sahaja menguji ketahanan jentera dan kemahiran teknikal, tetapi turut membuktikan semangat brotherhood yang kuat dalam komuniti off-road Malaysia.

Gerik Megatrail 7.0 bukan sekadar ekspedisi lasak — ia menjadi medan persahabatan, kerjasama dan pengalaman yang akan terus menjadi cerita sehingga hari tua.

#GerikMegatrail7 #MyLandy #TimPinz #4x4Malaysia #OffroadAdventure #RecoveryMission #Pinzgauer6x6 #LandRover110 #Brotherhood #AdrenalineImpact #BiarAdaCeritaDiHariTua

ARRC Pusingan 1 2026 ASB1000 : JDT Racing Team Dominasi Podium 1 dan 3 di Perlumbaan 1 dan 2

Pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah dari JDT Racing Team, mencipta kemenangan bergaya dalam Perlumbaan 1 dan 2 kelas ASB1000 pada Pusingan 1 Kejuaraan Asia Road Racing (ARRC) 2026 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada hujung minggu lepas.

Bermula cemerlang sebaik perlumbaan dimulakan, Hafizh terus memimpin perlumbaan hingga ke garis penamat. Manakala rakan sepasukan Hafizh pula Andi mengiringi menaiki podium ditempat ke 3. Walau bagaimanapun Andi terpaksa berhempas pulas memberikan saingan sengit ke atas Keito Abe yang menduduki tempat ke dua di kedua-dua perlumbaan.

Hafizh menzahirkan penghargaan kepada pasukan, keluarga, peminat serta marshal yang bertugas, sambil menyifatkan kemenangan ini sebagai amat bermakna di laman sendiri.

Walau bagaimanapun Hafizh didenda sebanyak USD500 dan long lap penalty atas kesalahan melanggar peraturan dengan memperlahankan jentera sebaik sahaja melintasi garis penamat semasa perlumbaan 2.

KBS Rally Sprint 2025: Keseronokan, Legasi & Rally ‘Mesra Poket’

MAEPS, Serdang menjadi saksi kepada kemuncak musim KBS Rally Sprint 2025, anjuran X-One Motorsports Club, dengan lebih 20 kereta rally bersaing di atas litar asfalt, mencipta suasana penuh debaran dan memikat hati peminat motorsport.

Format Inklusif
Edisi kali ini memperkenalkan format pemanduan permukaan rata, membuka penyertaan kepada pemandu dari pelbagai disiplin – drift, gymkhana, dan litar. Hasilnya, perlumbaan menjadi lebih inklusif, mesra penonton, dan menarik minat semua peminat rally.

Kepelbagaian Kereta: Dari Klasik ke Moden
Daripada Toyota KE70 klasik, Axia ‘Pekak’, Kelisa Standart Kilang, Suzuki Swift Sukan, hinggalah kereta ikon rally Subaru Impreza WRX STI, menunjukkan tarikan acara ini yang luas. Kepelbagaian ini mengukuhkan KBS Rally Sprint sebagai platform yang selamat, praktikal, dan mampu milik untuk pemandu baru mahupun berpengalaman.

Sorotan Penuh Drama
Peminat teruja dengan penyertaan pemandu berpengalaman Saladin Mazlan & Arish Qutb menggunakan Subaru Impreza GC8, malangnya mereka tidak dapat menamatkan perlumbaan akibat masalah mekanikal – membuktikan rally bukan sahaja tentang kelajuan dan kemahiran memandu, tetapi juga ketahanan kereta

Legasi keluarga turut menjadi perhatian. Ibrahim Saladin, anak kepada Saladin Mazlan, bergandingan dengan Shazwan Akif meneruskan legasi bapa mereka. Begitu juga dengan Shanice Dana Udhaya & Mark Levon Gregory, mewakili generasi baru MRU Motorsport dalam kategori Junior & Wanita.

Kembalinya Wan Mohammad Nasir dengan Toyota KE70 Corolla menunjukkan usia bukan halangan untuk bertanding. Pendekatannya, “Driving a slow car fast”, menyerlahkan keseronokan memandu kereta klasik secara kompetitif dan membuktikan sesiapa sahaja dapat mencuba sukan rally.

Alhamdulillah rezeki saya dapat sahabat² yang sudi bantu dan support saya. My main goal is nak promote rally so orang² baru masuk & tak perlu belanja besar tapi tetap enjoy rally macam Works Team yang budget puluhan ribu..

Kalau dapat sorang dua dapat ikut macam saya buat pun dah happy sangat. Saya spend tak sampai RM6k termasuk kereta untuk dapat a complete rally car. Harga turbo kereta Saladin sebijik pun dah lebih kut …!!😄 – Wan Achey.

Keputusan Akhir Keseluruhan
1️⃣ Tempat Pertama: Mitch Chong & Muhammad Fazli Ishak – Proton Satria 2WD
2️⃣ Tempat Kedua: Haji Sutan Mustafa Salihin & Haji Kamarul Anuar – Subaru Impreza WRX
3️⃣ Tempat Ketiga: Faidzal Alang & Zamri Muhamat – Mitsubishi Lancer Evo

Lebih Dari Sekadar Perlumbaan
Dengan penyertaan yang pelbagai, sokongan rasmi daripada badan pentadbir sukan, serta format perlumbaan yang lebih mesra peminat, KBS Rally Sprint 2025 menutup musim dengan isyarat positif terhadap perkembangan rali Malaysia untuk diklasifikasikan dalam sukan arus perdana.

Platform ini bukan sekadar perlumbaan — ia merupakan arena pengembangan bakat, kesinambungan legasi, dan tontonan kompetitif untuk peminat sukan permotoran tempatan.

DAMOK CATAT KEMENANGAN BERGANDA PERTAMA DI SEPANG

Pusingan 5 Kejuaraan IDEMITSU FIM Asia Road Racing menyaksikan aksi mendebarkan dalam Perlumbaan 2 kelas SS600 di Litar Antarabangsa Sepang apabila pelumba negara, Muhammad Syarifuddin Azman (Damok) dari pasukan IDEMITSU HONDA RACING MALAYSIA meraih kemenangan berganda pertama di laman sendiri.

Sebaik perlumbaan bermula, Kasma Daniel Kasmayudin (HONG LEONG YAMAHA RACING) memimpin, diikuti Muhammad Adenanta Putra (ASTRA HONDA RACING TEAM) dan Damok di tempat ketiga.
Pada Lap 2, Damok memintas Adenanta untuk naik ke P2 dan mula mengekori rapat Kasma. Adenanta kekal di P3 diikuti Wahyu Nugroho dan rakan sepasukan, Muhammad Faerozi Toreqottullah.

Lap 3 menyaksikan Syarifuddin merekodkan masa terpantas 2’09.936s, memberi tekanan kepada Kasma ketika dua pelumba teratas mula membuka jurang satu saat. Pada Lap 4, jarak antara mereka semakin rapat (0.147s), dan menjelang Lap 7 jurang dengan kumpulan kedua melebar sehingga dua saat.

Detik penentuan hadir pada lap terakhir apabila Syarifuddin melakukan aksi berani di Turn 8 untuk memintas Kasma sebelum memecut laju ke garisan penamat dengan masa 21’50.647s, seterusnya mengesahkan kemenangan keduanya hujung minggu ini.
Kasma di tempat kedua (21’51.524s), manakala Adenanta melengkapkan podium (21’53.088s).

TOP 5 TERPANTAS – PERLUMBAAN 2

1. MUHAMMAD SYARIFUDDIN AZMAN – IDEMITSU HONDA RACING MALAYSIA (21’50.647s)

2. KASMA DANIEL KASMAYUDIN – HONG LEONG YAMAHA RACING (21’51.524s)

3. MOHAMMAD ADENANTA PUTRA – ASTRA HONDA RACING TEAM (21’53.088s)

4. WAHYU NUGROHO – YAMAHA RACING INDONESIA (21’53.610s)

5. MUHAMMAD FAEROZI TOREQOTTULLAH – YAMAHA RACING INDONESIA (21’53.722s)

AZROY RAIH KEMENANGAN SENSASI

Pusingan 5 IDEMITSU FIM Asia Road Racing Championship menyaksikan Perlumbaan 2 kelas perdana ASB1000 yang penuh dramatik di Litar Antarabangsa Sepang, apabila Azroy Hakeem Anuar (IDEMITSU HONDA RACING MALAYSIA) muncul juara selepas kekecohan di lap terakhir.

Hafizh Syahrin (JDT RACING TEAM) memulakan perlumbaan dengan baik tetapi terus dicabar oleh Azroy seawal selekoh pertama. Beberapa lap awal menyaksikan Hafizh dan Azroy silih berganti di hadapan, manakala Muhammad Zaqhwan Zaidi (IDEMITSU HONDA RACING MALAYSIA), Keito Abe (SDG HARC-PRO. HONDA PHILIPPINES) dan Nakarin Atiratphuvapat (HONDA RACING THAILAND) turut bersaing rapat.

Pada Lap 3, Zaqhwan memintas Hafizh untuk mendahului sambil mencatatkan masa terpantas 2’06.362s. Azroy mula bangkit, memintas Keito dan semakin menghampiri kelompok hadapan dengan rentetan lap terpantas 2’06.166s, 2’06.028s dan 2’06.003s antara Lap 6 hingga 10.

Lap 11 menyaksikan Hafizh kembali ke depan, membuka jalan kepada penamat yang mendebarkan. Di lap terakhir, Zaqhwan cuba memintas Hafizh namun berlaku perlanggaran dan kedua-duanya terjatuh. Situasi itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Azroy yang melintasi garisan penamat pertama dengan masa 25’26.719s.

Nakarin menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan 25’29.682s, manakala Andi Farid Izdihar (ASTRA HONDA RACING TEAM) di tempat ketiga dengan 25’29.750s.

TOP 5 TERPANTAS – PERLUMBAAN 2

AZROY HAKEEM ANUAR – IDEMITSU HONDA RACING MALAYSIA (25’26.719s)

NAKARIN ATIRATPHUVAPAT – HONDA RACING THAILAND (25’29.682s)

ANDI FARID IZDIHAR – ASTRA HONDA RACING TEAM (25’29.750s)

KEITO ABE – SDG HARC-PRO. HONDA PHILIPPINES (25’30.101s)

LACHLAN EPIS – SAVITAR RACING ASIA (25’44.709s)

ARRC 2025 : DAMOK KUASAI SS600 PERLUMBAAN 1

Pusingan 5 Kejuaraan Asia Road Racing IDEMITSU FIM 2025 (SS600) di Litar Antarabangsa Sepang menyaksikan kemenangan bermakna pelumba tuan rumah, Damok @ Muhammad Syarifuddin Azman (IDEMITSU Honda Racing Malaysia) selepas aksi penuh drama dalam cuaca ekstrem.

Kasma Daniel Kasmayudin (Hong Leong Yamaha Racing) yang mendominasi awal perlumbaan dan mencatat lap terpantas 2’10.307s. Namun, strategi Damok yang menyimpan tayar menjadi faktor penentu apabila mula memintas pada Lap 8 dan membuka jurang.

Di saat akhir, Anupab Sarmoon (Yamaha Thailand Racing Team) melakukan aksi agresif di selekoh terakhir untuk merampas tempat ketiga, meninggalkan Muhammad Helmi Azman di belakang.

Syarifuddin berkata kemenangan ini lebih istimewa kerana sokongan keluarga, terutama isterinya yang menjadi kekuatan utama.

Keputusan 5 Terpantas – Race 1 (SS600)

Muhammad Syarifuddin Azman – 21’57.501s

Kasma Daniel Kasmayudin – 21’59.192s

Anupab Sarmoon – 22’04.769s

Muhammad Helmi Azman – 22’04.882s

Herjun Atna Firdaus – 22’08.097s

ARRC 2025: Hafizh Syahrin Dominasi Race 1 ASB1000 di Sepang

Pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah dari JDT Racing Team, mencipta kemenangan bergaya dalam Race 1 kelas ASB1000 pada Pusingan 5 Kejuaraan Asia Road Racing (ARRC) 2025 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang.

Bermula cemerlang sebaik perlumbaan dimulakan, Hafizh segera mengambil alih kedudukan pendahulu daripada Azroy Hakeem Anuar dan Muhammad Zaqhwan Zaidi. Persaingan sengit turut melibatkan Keito Abe dan Nakarin Atiratphuvapat yang melengkapkan lima pelumba teratas pada peringkat awal.

Bagaimanapun, keadaan berubah apabila Azroy terjatuh pada Lap 6, diikuti Keito yang turut terjatuh selepas naik ke tempat kedua. Insiden tersebut memberikan ruang kepada Zaqhwan dan Nakarin untuk naik ke kedudukan podium.

Dalam cuaca ekstrem mencecah 41°C, Hafizh menunjukkan kematangan taktikal dengan cemerlang sebelum menamatkan perlumbaan dengan masa 25’26.781s.
Zaqhwan menamatkan di tempat kedua (25’30.043s), manakala Nakarin di tempat ketiga (25’42.950s). Lachlan Epis dan Maiku Watanuki melengkapkan senarai lima pelumba terpantas.

Hafizh menzahirkan penghargaan kepada pasukan, keluarga, peminat serta marshal yang bertugas, sambil menyifatkan kemenangan ini sebagai amat bermakna di laman sendiri.


Keputusan Top 5 Race 1 ASB1000:

  1. Hafizh Syahrin Abdullah – JDT Racing Team (25’26.781s)
  2. Muhammad Zaqhwan Zaidi – IDEMITSU Honda Racing Malaysia (25’30.043s)
  3. Nakarin Atiratphuvapat – Honda Racing Thailand (25’42.950s)
  4. Lachlan Epis – Savitar Racing Asia (25’56.434s)
  5. Maiku Watanuki – Team TATARA Aprilia (26’03.532s)

‘Zero Car’ : Kenderaan Keselamatan di Rally of Sepang, Malaysia Festival of Speed

Sepang, Malaysia – Di sebalik deruman enjin dan aksi mendebarkan di Rally of Sepang, ada sebuah kenderaan yang sering luput dari perhatian, namun peranannya amat penting – iaitu Zero Car.

Dipandu oleh Encik Shah Bandi bersama juruarah Haji Suhaimi Saiko, Zero Car bukan sekadar sebuah kereta, tetapi benteng terakhir keselamatan sebelum rali bermula. Mereka perlu memastikan laluan benar-benar selamat, marshal bersiap siaga, dan penonton berada di tempat yang sesuai.

Bergandingan dengan 00 Car dan 000 Car, Zero Car melengkapkan ritual keselamatan yang menjadi nadi perlumbaan rali. Hanya selepas isyarat hijau diberikan daripada mereka, barulah aksi perlumbaan rali yang penuh adrenalin bermula.

Zero Car yang dipandu oleh Encik Shah Bandi dan juruarah Haji Suhaimi Saiko membuktikan profesionalisme dan pengalaman mereka bahawa dalam dunia rali ini sentiasa bergerak seiring dengan keselamatan dan keterujaan orang ramai untuk menyaksikan perlumbaan rali.

PERLUMBAAN 2 ASIA ROAD RACING CHAMPIONSHIP PUSINGAN 5 : YUKI KUNII TERUS GAH DI LITAR PETRONAS ANTARABANGSA SEPANG

Yuki Kuni terus gah di podium juara dalam katogeri perdana ASB1000 apabila sekali lagi mencatatkan kemenangan kedua berturut-turut. Kemenangan kedua ini juga sekaligus menafikan hasrat pelumba negara Hafizh Syahri (JDT Racing Team) sekali lagi untuk mencetak nama di podium juara.

Yuki mula menguasai kedudukan pertama apabila berjaya memintas Nakarin Atiratphuvapat (Honda Asia-Dream Racing with Astemo) dikedudukan kedua dan pendahulu perlumbaan Hafizh Syahrin (JDT Racing Team) lap perlumbaan ketiga. Tanpa menoleh ke belakang, Yuki terus memimpin perlumbaan sehingga tamat.

Menemani Yuki di podium adalah Nakarin Atiratphuvapat (Honda Asia-Dream Racing with Astemo) dikedudukan ke 2 manakala Hafizh Syahrin (JDT Racing Team) dikedudukan ke 3

Sementara itu bagi katogeri SS600 pula, Azroy Hakeem Anuar (IDEMITSU Boon Siew Honda Racing Team) berjaya podium juara dan sekaligus lagu kebangsaan Negaraku berkumandang selepas Helmi Azman (IDEMITSU Boon Siew Honda Racing Team) melakukannya pada perlumbaan pertama.

Pelumba negara jiran tetangga kita Indonesia iaitu Mohammad Adenanta Putra (ASTRA HONDA RACING TEAM) dan rakan sepasukannya Veda Ega Pratama mengiringi Azroy dikedudukan kedua dan ketiga

Katogeri AP250 pula, menyaksikan saingan yang agak sengit seperti perlumbaan pertama apabila Muhammad Faerozi Toreqottullah (YAMAHA Racing Indonesia) berjaya menafikan hasrat pelumba Jepun Aiki Iyoshi (Motul Sniper Manual Tech) untuk berada dipodium juara. Aiki terpaksa berpuas hati pada kedudukan ke 2, manakala tempat ke 3 pula dihuni oleh pelumba Vietnam iaitu Cao Viet Nam (Honda Racing Vietnam Team)

Dalam katogeri UB150, lagu Negaraku berkumandang sekali lagi apabila pelumba negara Ahmad Fazrul Sham (CARDINALS FACTORY RACING TEAM ARRC) berjaya menidakkan hasrat pelumba Indonesia Adytya Fauzi (RACETECH SIXTY Racing Team) untuk menaiki podium juara. Adytya akur pada kedudukan ke 2 dan Nazirul Izzat Md Bahauddin (UMA Racing YAMAHA Maju Motor Asia Team) pelumba negara dikedudukan ke 3.

TVS Asia One Make Championship pula podium juara dinaiki oleh pelumba Jerman Rocco Sessler manakala pelumba Thailand ke 2 iaitu Vorapong Malahuan dan pelumba India Sarthak Chavan ke 3.

1 2 3 9