Damok Ungguli MSBK 600 Musim 2021

M. Syarifudin Azman atau lebih dikenali sebagai Damok mencetak dirinya sebagai Juara Keseluruhan bagi katogeri MSBK600. Walaupun tidak menaiki podium juara pada perlumbaan tetapi konsistenasi Damok dalam mengutip mata dan menaiki podium dalam siri perlumbaan yang sebelumnya membolehkan beliau mengenepikan semua pencabarnya untuk merangkul juara keseluruhan.

Ibrahim Noroddin, Helmi Azman, Azroy Hakem Anuar dan juga Khairul Idham Pawi sentiasa menjadi pencabar beliau dalam semua siri perlumbaan ditambah pula penyertaan Adam Noroddin pada pusingan kedua ini. Seolah tidak rasa tertekan dengan setiap cabaran, Damok sentiasa memberikan keputusan yang terbaik untuk dirinya dan juga pasukan.

Walaupun bersaing dengan beberapa pelumba yang responsif, Damok sentiasa tampil dikelompok lima terbaik. Ini sekaligus memberikan impak yang positif kepada beliau dalam menampilkan tunggangan yang dinamik.

Secara keseluruhan, Damok mengutip 105 mata, manakala rakan sepasukan beliau Ibrahim Noroddin dengan 95 mata dan Helmi Azman 89 mata. Tahniah Damok !!! Tahniah SIC Racing Team !!!

ZAQHWAN JUARA MSBK 1000 MUSIM 2021

Cabaran Zaqhwan Zaidi dalam katogeri perdana (MSBK1000) dalam Kejuaraan Superbike Malaysia 2021 berakhir dengan kenangan yang begitu manis apabila ditabalkan sebagai Juara keseluruhan dengan pungutan mata sebanyak 116 mata. Hanya memulakan cabaran pada perlumbaan kedua di Pusingan Pertama, dua minggu lepas Zaqhwan seolah tidak menoleh ke belakang untuk membolehkan beliau mengkul Juara keseluruhan.

Pada 3 perlumbaan di Pusingan kedua ini, Zaqhwan gah memonopoli podium juara dengan hatrik. Walaupun menerima cabaran dan asakan dari Azlan Shah Kamaruzaman, Kasma Daniel Kasmayudin serta Ramdan Rosli dan juga Danial Haiqal, tetap fokus dalam setiap perlumbaan untuk menang. Meskipun begitu cabaran yang diberikan rakan pelumba terhadap Zaqhwan tetap meningkat di setiap perlumbaan.

Di Pusingan Kedua ini, Zaqhwan yang menunggang jentera baru Honda CBR 1000 RRR SP seolah memberikan amaran awal kepada pesaing untuk musim dan juga kejuaraan akan datang bahawa beliau akan kembali lebih bertenaga.

Keputusan keseluruhan katogeri perdana ini Zaqhwan dengan pungutan 116 mata sementara Azlan Shah di tempat kedua (110 mata) dan Kasma ditempat ketiga dengan pungutan 101 mata.

SIC RACING MONOPOLI TAKHTA MSBK 600

Keputusan saat akhir memasukkan Adam Noroddin ke kancah MSBK 600 seolah menjadi pelantun kepada monopoli Pasukan SIC Racing. Kemasukan Adam juga seolah menjadi pembakar semangat kepada adik beliau Ibrahim dan juga rakan sepasukan M. Syarifuddin Azman (Damok).

Jika sebelum ini saingan lebih kepada tertumpu antara Azroy, Helmi, Ibrahim, Damok serta Khairul Idham tetapi pada kali ini dengan kemasukan Adam saingan terus menjadi bertambah sengit. Semasa sesi latihan dan juga kelayakkan, Helmi dan Azroy seolah bakal menguasai pada saingan sebenarnya namun apabila perlumbaan berlumba, Adam memulakan langkah agresif dengan terus meluru untuk memburu tempat pertama.

Seawal dari saingan bermula Pasukan SIC Racing seolah menunjukkan amaran awal kepada pelumba lain dengan trio pelumba mereka apabila menguasai tiga tempat utama. Namun begitu Azroy dan Helmi tetap berusaha untuk memberikan saingan yang hebat. Manakala Khairul Idham agak kecewa apabila jentera tunggangan beliau menghadapi masalah teknikal.

Perlumbaan kedua dan ketiga pastinya lebih hangat dan mendebarkan bagi semua pelumba apabila rumusan percaturan perlumbaan pertama menjadi batu asas untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada.

KEPUTUSAN MSBK 600 PERLUMBAAN PERTAMA

  1. Ibrahim Norrodin (Yamaha, SIC Racing), 21’56.784s
  2. Adam Norrodin (Kawasaki, SIC Racing), 21’57.148s
  3. Mohd Syarifuddin Azman (Kawasaki, SIC Racing), 21’57.482s

TUAH JENTERA BARU BUAT ZAQHWAN ZAIDI

Penampilan Zaqhwan yang menunggang jentera baru Honda CBR 1000 RRR SP pada Pusingan 2 Perlumbaan pertama membuahkan hasil yang membanggakan buat pasukan Honda. Walaupun jentera tunggangan Zaqhwan belum lagi mencapai tahap pelarasan yang optimum untuk perlumbaan ini, beliau berjaya mengadaptasikan segalanya melalui pengalaman yang dimilikinya.

Didalam perlumbaan pertama ini, Zaqhwan kerap diasak oleh Kasma Daniel dari pasukan YAMAHA Racing Team ASEAN dan silih berganti tempat pertama. Kasma semasa didalam latihan bebas dan kelayakan yang mencatatkan rekod terbaik, tetapi masih belum dapat untuk menandingi keupayaan Zaqhwan yang menunggang jentera baru.

Manakala Azlan Shah Kamaruzaman dari pasukan ONEXOX TKKR Racing sekadar berpuashati di tempat ke tiga. Untuk rekod Azlan pernah mengatasi Zaqhwan pada pusingan pertama perlumbaan ketiga yang berlangsung pada 2 minggu sebelum ini

Secara keseluruhannya perlumbaan yang berlangsung dalam cuaca yang agak baik walaupun timbul sedikit kegusaran apabila keadaan mendung mula menyelubungi. Namun begitu tentangan MSBK 1000 boleh dikatakan agak sengit apabila kedudukan 5 teratas tidak terlalu jauh antara satu sama lain

KEPUTUSAN MSBK 1000 A PERLUMBAAN PERTAMA

  1. Mohd Zaqhwan Zaidi (Honda, Boon Siew Honda Racing Team), 21’26.761s
  2. Kasma Daniel Kasmayudin (Yamaha, Yamaha Racing Team ASEAN), 21’27.210s
  3. Azlan Shah Kamaruzaman (BMW, ONEXOX TKKR Racing Team), 21’37.778s

ARRC MUSIM 2021 DITANGGUHKAN

Musim 2021 FIM Asia Road Racing Championship terpaksa dibatalkan. Ianya adalah disebabkan syarat2 ketat yang dikenakan oleh setiap negara penganjur disamping kesukaran pasukan2 perlumbaan untuk menyusun atur perjalanan disetiap negara yang terlibat.

Prosedur kuarantin yang berbeza di setiap negara terlibat disamping kekurangan perkhidmatan penerbangan ke lokasi penyertaan dan halangan2 lain semakin menyukarkan keadaan. Oleh itu, pihak FIM Asia Road Racing Championship memutuskan untuk menangguhkan sementara acara ini bagi musim 2021.

Ron Hogg, Pengarah, Two Wheels Motor Racing

Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Litar Antarabangsa Chang, Lembaga Sukan Thailand dan Kelab Sukan Motor Persekutuan Thailand. Dengan bantuan agensi ini, yang berusaha kuat serta bekerja keras hingga saat terakhir untuk kami merealisasikan. Namun, tidak semuanya berada dalam kawalan kita.

Sekatan di antara negara-negara Asia lebih ketat berbanding dengan wilayah lain seperti Eropah. Dan ianya akan menjadikan kos penganjuran semakin tinggi, terutama dengan prosedur kuarantin yang diperlukan ketika pasukan pulang ke negara masing-masing. Oleh itu, kami percaya bahawa lebih baik untuk kami untuk memulakan musim 2022. Rancangan untuk tahun 2022 akan diumumkan apabila tiba pada waktunya. Sementara itu, kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakan kongsi, pasukan, pelumba dan peminat kami. Teruskan bersemangat dan bersiap sedia untuk tahun hadapan!

Stephan Carapiet, Presiden, FIM Asia

FIM Asia menyokong keputusan FIM Asia Road Racing Championship untuk menangguhkan musim 2021. Asia merupakan wilayah yang mempunyai ramai penduduk berbanding dengan bahagian lain di dunia. Oleh itu, tidak menghairankan bahawa pemerintah Asia mengenakan sekatan yang lebih ketat untuk acara sukan antarabangsa. Masalah semakin menekan dengan peraturan yang sentiasa berubah-ubah. Turut berasa kecewa seperti orang lain mengenai keputusan yang tidak dapat dielakkan ini. Namun, mari kita nantikan tahun yang hebat pada tahun 2022.

Podium Juara MSBK 1000 Hangat Dengan 3 Juara Berlainan Jentera

Jika saingan perlumbaan pertama dimenangi oleh jentera Yamaha yang dipacu oleh Kasma Daniel, dikuti oleh Azlan Shah (BMW S1000RR) dan Danial Haikal (BMW S1000RR), saingan perlumbaan kedua pula menyaksikan Zaqhwan Zaidi (Honda CBR 1000R SP2020) menggegar litar seawal perlumbaan walaupun bermula di grid terakhir

Tidak menyertai perlumbaan pertama namun tunggangan Zaqhwan yang bertenaga serta agresif telah meninggalkan lawan pada jarak yang agak jauh, seolah menunjukkan amaran kepada pesaing lain. Namun pada lewat saingan Zaqhwan hampir terbabas tetapi dapat mengawal jentera tunggangan dengan baik dan meneruskan saingan hingga tamat saingan

Ekoran dari insiden Zaqhwan tersebut Kasma cuba merapatkan jurang untuk mengekori Zaqhwan ditempat kedua manakala Ramdan Rosli ditempat ketiga.

Dalam saingan perlumbaan ketiga pula, pasukan TKKR Racing memperlihatkan kejaguhan mereka dengan membolot dua tempat teratas dengan Azlan Shah sebagai juara manakala Ramdan Rosli ditempat kedua.

Ketika saingan sebelumnya Azlan yang bergelut dengan masalah sistem gantungan pada saingan pertama dan penstrukturan pengurusan sistem jentera disaingan kedua dilihat seolah membalas dendam dengan meluru untuk merebut ke kedudukan pertama seawal saingan perlumbaan ketiga bermula. Walaupun diawal saingan perlumbaan ketiga Kasma dan Daniel Haiqal berada dihadapan, dengan memfokuskan mencari kemenangan juara pertama beliau, Azlan konsisten dalam mengawal jentera tunggangan beliau dan memberikan asakan bertenaga sebelum Kasma dan Daniel terlibat dengan insiden di selekoh ke enam.

Ketangkasan dan ketengangan Azlan dalam mengawal jentera (BMW S1000RR) beliau seolah menyuntik semangat buat rakan sepasukan beliau Ramdan Rosli untuk mengekori rapat pada kedudukan kedua. Tempat ketiga pula dihuni Zaqhwan dengan tunggangan yang agak berhati-hati ekoran trek yang licin akibat hujan sewaktu permulaan saingan 600cc

Podium Juara MSBK 600 Bersilih Ganti Pada 3 Saingan Perlumbaan

Pada perlumbaan kedua kategori 600 cc Helmi Azman berjaya menaiki takhta juara perlumbaan kedua setelah perlumbaan dihentikan sementara akibat hujan lebat. Perlumbaan dilangsungkan semula setelah penukaran tayar dilakukan oleh semua pelumba.

Perlumbaan yang awalnya didahului oleh Azroy Hakeem dan Ibrahim Norrodin, namun insiden di selekoh ketiga sebaik sahaja perlumbaan dimulakan semula Azroy yang berada dihadapan dan Ibrahim dibelakang hilang cengkaman pada tayar hadapan lalu jatuh dan gagal untuk meneruskan perlumbaan.

Dari insiden tersebut, Helmi terus memecut laju jentera beliau kehadapan. Walaupun diberikan tentangan yang hebat dari Syarifuddin Azman (Damok) dan Khairul Idham Pawi, Helmi meneruskan tunggangan yang konsisten dan terus mempertahankan kedudukan hingga tamat saingan perlumbaan kedua.

Dalam perlumbaan kedua ini, Khairul Idham Pawi gagal untuk meneruskan rentak juara perlumbaan pertama dengan mengakhiri pada kedudukan ketiga. Manakala Syarifuddin Azman di tempat yang kedua.

Pada Perlumbaan ketiga pula, Azroy seolah menebus kegagalan pada dua saingan sebelumnya dengan mempamerkan semangat juang yang tinggi. Walaupun sering diasak oleh Ibrahim dan Syarifuddin serta Helmi, Azroy terus fokus untuk menjadi juara perlumbaan ketiga ini.

Ibrahim menduduki tempat kedua manakala Syarifuddin di tempat yang ketiga dalam perlumbaan ketiga yang agak sengit ini. Helmi sekadar menduduki tempat ke empat dan Khairul ke lima. Persaingan ini pastinya akan lebih sengit lagi apabila kejohanan MSBK ini bersambung pada lewat hujung bulan ini

Khairul Idham Pawi : Kembalinya Sang Juara Dengan Langkah Cemerlang Di MSBK Pusingan 1 Perlumbaan Pertama




Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) menjadi landasan yang tepat untuk bekas pelumba  Malaysia, Khairul Idham Pawi untuk kembali bersaing di arena perlumbaan.

Memulakan perlumbaan dari barisan kedua di belakang  Mohd Ibrahim Norrodin, Azroy Hakeem Anuar dan Mohd Helmi Azman, Khairul memulakan perlumbaan dengan penuh semangat dan bergaya 

Kategori MSBK600 diibaratkan pertandingan lima penjuru antara Ibrahim, Azroy, Helmi, Khairul dan Mohd Sharifuddin Azman. Persaingan antara barisan depan tampak jelas sejak awal perlumbaan antara Ibrahim dan Azroy untuk merebut tempat pertama namun pada pusingan kedua diselekoh ke sembilan Azroy dan Ibrahim terlibat dalam satu insiden.

Ekoran dari insiden antara Azroy dan Ibrahim itu memberikan peluang kepada Khairul untuk terus mara ke hadapan disamping menahan asakan dari Helmy Azman untuk perebutan tempat pertama. Khairul terus bertahan hingga ke garisan penamat dan berjaya menaiki podium sebagai langkah kanan untuk beliau kembali ke arena permotoran.

Sementara itu Helmi Azman yang agresif memberikan saingan dan tentangan kepada Khairul Idham Pawi terpaksa berpuashati di tempat ketiga apabila dipintas oleh Mohd Sharifuddin Azman di selekoh terakhir apabila melakukan kesilapan dengan membuka ruang yang tidak sepatutnya.

1. Khairul Idham Pawi (Yamaha, ONEXOX TKKR Racing Team), 21’59.034s
2. Mohd Syarifuddin Azman (Kawasaki, SIC Racing), 21’59.383s
3. Mohd Helmi Azman (Honda, Boon Siew Honda Racing Team), 21’59.430s

Kasma Unggul di Perlumbaan Pertama Kategori 1000cc




Penampilan pertama kali Kasma Daniel Kasmayuddin di kelas MSBK1000 membuahkan hasil apabila menaiki podium dalam Perlumbaan 1 pembuka musim 2021 Malaysia Superbike Championship (MSBK) di Litar Antarabangsa Sepang.

Penampilan Kasma yang menunggang Yamaha YZF-R1M lancar sepanjang perlumbaan 10 pusingan yang dimenanginya dengan masa 21’23.783s. Tentangan yang cuba diberikan oleh Azlan Shah Kamaruzaman dari awal hingga  akhir perlumbaan agak sengit namun rentak tunggangan Kasma yang konsisten berjaya meraih podium pertama buat beliau 

Pelumba Azlan Shah dari pasukan TKKR yang bergelut dengan sistem gantungan motosikal beliau hanya mampu berpuas hati di tempat kedua. Beliau mengharapkan masalah sistem gantungan jentera beliau dapat diselesaikan menjelang perlumbaan kedua pada keesokan hari. 

Sementara itu Zaqhwan Zaidi yang tidak berlumba pada perlumbaan pertama ini akan kembali beraksi pada perlumbaan kedua dimana beliau mengharapkan dapat memberikan tentangan yang baik serta mampu beraksi cemerlang sepertimana semasa sessi latihan pada hari Jumaat

1. Kasma Daniel Kasmayudin (Yamaha, Yamaha Racing Team ASEAN), 21’23.783s
2. Azlan Shah Kamaruzaman (BMW, BMW S1000RR 2020), 21’32.698s
3. Ahmad Daniel Haiqal (BMW S1000RR 2020), 22’00.313s

AKID KEMBALI KE PODIUM DIPUSINGAN 4 MCP 2021

Nama Mohd Akid Aziz sememangnya tidak asing dalam arena Kejohanan PETRONAS Malaysian Cub Prix. Sejak musim 2017 lagi, nama ini sering disebut sebagai antara favorit untuk memenangi takhta kategori perdana kejohanan.

Musim ini, apabila Akid mengambil keputusan berpindah dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor ke pasukan ONEXOX TKKR Racing Team, nama Akid Aziz seakan tiba-tiba hilang dari ingatan.

Setelah beraksi selama lima tahun bersama pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, pemindahan ke pasukan baharu tidaklah semudah yang disangka.

“Dua pusingan pertama sememangnya amat sukar untuk saya dan juga kru pasukan ONEXOX TKKR Racing Team. Pasukan baharu saya mempunyai pendekatan mereka yang tersendiri. Kami memerlukan masa untuk saling-memahami,” jelas Akid.

“Saya begitu berterima kasih kepada pasukan ONEXOX TKKR Racing Team di atas usaha keras mereka selama ini. Akhirnya, saya dapat beraksi seperti dahulu!” kata Akid apabila berjaya memenangi perlumbaan Pusingan 4 dengan catatan masa 15’03.215s.

Tempat ke-2 dirampas oleh Ahmad Afif Amran, 0.052 saat di belakang Akid. Nazirul Izzat M. Bahauddin dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan 15’03.391s.

Dalam kategori CP125 pula, Mohd Fareez Afeez Abd Rahman bijak mengawal motosikal di atas litar yang teramat licin sehingga berjaya mencapai kemenangan pertamanya musim ini dengan catatan masa 12’43.707s.

“Perlumbaan ini seumpama mimpi. Saya hampir tidak percaya bahawa saya keseorangan di depan perlumbaan,” kata Fareez yang melintasi garisan penamat 7.311 saat di hadapan pelumba-pelumba lain.

“Permukaan litar Sepang amat licin selepas hujan lebat. Dalam situasi ini, pelumba harus bijak mengawal strategi supaya tidak begitu agresif,” jelas Fareez lagi.

Tempat kedua dimenangi Mohd Aliff Danial Mohd Asri dengan catatan masa 12’51.018s. Mohd Hafiza Rofa merakamkan podium ketiga musim ini di tempat ketiga dengan 12’52.183s.

Akhir sekali, dominasi pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing dalam kategori Wira KBS berakhir. Daripada empat pelumba yang ditaruhkan, hanya Danial Johan yang berjaya memenangi kedudukan podium di tempat pertama dengan catatan masa 10’10.129s.

Rakan sepasukan Danial, Mohd Syamil Amsyar Mohd Iffende, Mohd Aqil Danial Nasrul dan Mohd Danish Aiman Zamrul mengalami kemalangan pada permulaan perlumbaan.

Ini membuka ruang kepada Mohd Harith Haziq Zamri dari pasukan Castrol Power1 Honda Team. Haziq menamatkan perlumbaan di tempat kedua, 3.012 saat di belakang Danial Johan. Mohd Irfan Haykhal Amidi dari pasukan Moto1 Koyoko Honda KC Racing menewaskan Mohd Idlan Haqimi Raduan untuk meragut tempat ke-tiga.

Pusingan 5 dan 6 Kejohanan PETRONAS Malaysian Cub Prix akan berlangsung di Litar Permotoran Terengganu pada 2hb dan 3hb Oktober bulan depan.


CP150 FINAL

1. Mohd Akid Aziz (Yamaha, ONEXOX TKKR Racing Team), 15’03.215s

2. Ahmad Afif Amran (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing), 15’03.267s

3. Nazirul Izzat Mohd Bahauddin (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor), 15’03.391s

CP150 STANDINGS

1. Azroy Hakeem Anuar (Honda, Honda Yuzy Idemitsu Team), 58 pts

2. Nazirul Izzat Bahauddin (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor), 45 pts

3. Mohd Muzakkir Mohamed (Yamaha, ONEXOX TKKR Racing Team), 42 pts

CP125 FINAL

1. Mohd Fareez Afeez Abd Rahman (Yamaha, Ipone Yamaha YY Pang Racing Team), 12’43.707s

2. Mohd Aliff Danial Mohd Asri (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor), 12’51.018s

3. Mohd Hafiza Rofa (Yamaha, ONEXOX TKKR Racing Team), 12’52.183s

CP125 STANDINGS

1. Mohd Fareez Afeez Abd Rahman (Yamaha, Ipone Yamaha YY Pang Racing Team), 74 pts

2. Mohd Adib Rosley (Yamaha, Ipone Yamaha YY Pang Racing Team), 64 pts

3. Mohd Hafiza Rofa (Yamaha, ONEXOX TKKR Racing Team), 61 pts


Sumber Berita : Malaysian Cub Prix