Gerik Megatrail 7.0: Brotherhood, Cabaran & Operasi Recovery Penuh Drama

Gerik Megatrail 7.0 sekali lagi menghimpunkan komuniti off-road dari seluruh negara untuk mengharungi cabaran trek hutan dan laluan ekstrem di bumi Hulu Perak. Antara yang turut serta ialah TimPinz yang menghantar dua buah jentera iaitu Cherokee dan Pinzgauer, bergabung bersama Team MyLandy dalam kumpulan terakhir iaitu Group 10.

Hari pertama dimulakan dengan sesi perlepasan di Lapangan Terbang Gerik sebelum semua peserta memulakan perjalanan menuju Pos Khemar untuk bermalam. Laluan awal yang dipenuhi trek balak, lumpur dan sungai menjadi pembuka tirai kepada ekspedisi penuh adrenalin ini.

Perjalanan diteruskan pada hari kedua menuju ke Pos Piah. Namun suasana bertukar cemas apabila sebuah Land Rover 110 daripada kumpulan lain dilaporkan terjatuh ke dalam gaung sedalam anggaran 50 meter. Team MyLandy segera mengatur bantuan teknikal dan logistik bagi menjalankan operasi recovery untuk mengeluarkan kenderaan tersebut.

Operasi menyelamat melibatkan beberapa jentera utama termasuk Ford Ranger milik Bro Alvin CT yang dilengkapi Toureq Winch, Land Cruiser milik Tn Khyril Faizi Amdan dengan PTO Winch serta Pinzgauer 6×6 milik Tn Mohd Hanif Husain menggunakan Warn 8274. Bantuan tambahan turut diberikan oleh Land Rover 110 milik Nasrol Alias dan Cherokee milik Max bagi tujuan anchoring sepanjang operasi berlangsung.

Kerja recovery bermula sekitar jam 7.30 malam pada 10 Jun 2026 dan berterusan sehingga awal pagi. Dalam keadaan semua sedang fokus melakukan winching, satu lagi cabaran berlaku apabila tepat jam 4.17 pagi, brek pada Warn 8274 pula terbarai. Mujur ketika itu kenderaan yang ditarik sudah berada di kawasan yang agak rata.

Walaupun berdepan masalah tersebut, team tidak berputus asa. Dalam keadaan gelap dan berlumpur, semua mula mencari komponen winch yang bertaburan di atas tanah bagi cuba membaiki semula sistem tersebut. Selepas mengkaji kerosakan dan hasil bantuan pengalaman daripada rakan-rakan lain yang pernah menggunakan Warn 8274, winch tersebut akhirnya berjaya dipasang semula dan masih boleh digunakan sehingga operasi recovery selesai pada jam 12.30 tengah hari, 11 Jun 2026.

Walaupun berdepan keletihan, penggunaan bahan bakar yang tinggi serta beberapa peralatan recovery yang mengalami kerosakan, semua perkara itu diketepikan demi memastikan misi dapat diselesaikan dengan selamat. Operasi ini bukan sahaja menguji ketahanan jentera dan kemahiran teknikal, tetapi turut membuktikan semangat brotherhood yang kuat dalam komuniti off-road Malaysia.

Gerik Megatrail 7.0 bukan sekadar ekspedisi lasak — ia menjadi medan persahabatan, kerjasama dan pengalaman yang akan terus menjadi cerita sehingga hari tua.

#GerikMegatrail7 #MyLandy #TimPinz #4x4Malaysia #OffroadAdventure #RecoveryMission #Pinzgauer6x6 #LandRover110 #Brotherhood #AdrenalineImpact #BiarAdaCeritaDiHariTua

KBS Rally Sprint 2025: Keseronokan, Legasi & Rally ‘Mesra Poket’

MAEPS, Serdang menjadi saksi kepada kemuncak musim KBS Rally Sprint 2025, anjuran X-One Motorsports Club, dengan lebih 20 kereta rally bersaing di atas litar asfalt, mencipta suasana penuh debaran dan memikat hati peminat motorsport.

Format Inklusif
Edisi kali ini memperkenalkan format pemanduan permukaan rata, membuka penyertaan kepada pemandu dari pelbagai disiplin – drift, gymkhana, dan litar. Hasilnya, perlumbaan menjadi lebih inklusif, mesra penonton, dan menarik minat semua peminat rally.

Kepelbagaian Kereta: Dari Klasik ke Moden
Daripada Toyota KE70 klasik, Axia ‘Pekak’, Kelisa Standart Kilang, Suzuki Swift Sukan, hinggalah kereta ikon rally Subaru Impreza WRX STI, menunjukkan tarikan acara ini yang luas. Kepelbagaian ini mengukuhkan KBS Rally Sprint sebagai platform yang selamat, praktikal, dan mampu milik untuk pemandu baru mahupun berpengalaman.

Sorotan Penuh Drama
Peminat teruja dengan penyertaan pemandu berpengalaman Saladin Mazlan & Arish Qutb menggunakan Subaru Impreza GC8, malangnya mereka tidak dapat menamatkan perlumbaan akibat masalah mekanikal – membuktikan rally bukan sahaja tentang kelajuan dan kemahiran memandu, tetapi juga ketahanan kereta

Legasi keluarga turut menjadi perhatian. Ibrahim Saladin, anak kepada Saladin Mazlan, bergandingan dengan Shazwan Akif meneruskan legasi bapa mereka. Begitu juga dengan Shanice Dana Udhaya & Mark Levon Gregory, mewakili generasi baru MRU Motorsport dalam kategori Junior & Wanita.

Kembalinya Wan Mohammad Nasir dengan Toyota KE70 Corolla menunjukkan usia bukan halangan untuk bertanding. Pendekatannya, “Driving a slow car fast”, menyerlahkan keseronokan memandu kereta klasik secara kompetitif dan membuktikan sesiapa sahaja dapat mencuba sukan rally.

Alhamdulillah rezeki saya dapat sahabat² yang sudi bantu dan support saya. My main goal is nak promote rally so orang² baru masuk & tak perlu belanja besar tapi tetap enjoy rally macam Works Team yang budget puluhan ribu..

Kalau dapat sorang dua dapat ikut macam saya buat pun dah happy sangat. Saya spend tak sampai RM6k termasuk kereta untuk dapat a complete rally car. Harga turbo kereta Saladin sebijik pun dah lebih kut …!!😄 – Wan Achey.

Keputusan Akhir Keseluruhan
1️⃣ Tempat Pertama: Mitch Chong & Muhammad Fazli Ishak – Proton Satria 2WD
2️⃣ Tempat Kedua: Haji Sutan Mustafa Salihin & Haji Kamarul Anuar – Subaru Impreza WRX
3️⃣ Tempat Ketiga: Faidzal Alang & Zamri Muhamat – Mitsubishi Lancer Evo

Lebih Dari Sekadar Perlumbaan
Dengan penyertaan yang pelbagai, sokongan rasmi daripada badan pentadbir sukan, serta format perlumbaan yang lebih mesra peminat, KBS Rally Sprint 2025 menutup musim dengan isyarat positif terhadap perkembangan rali Malaysia untuk diklasifikasikan dalam sukan arus perdana.

Platform ini bukan sekadar perlumbaan — ia merupakan arena pengembangan bakat, kesinambungan legasi, dan tontonan kompetitif untuk peminat sukan permotoran tempatan.

‘Zero Car’ : Kenderaan Keselamatan di Rally of Sepang, Malaysia Festival of Speed

Sepang, Malaysia – Di sebalik deruman enjin dan aksi mendebarkan di Rally of Sepang, ada sebuah kenderaan yang sering luput dari perhatian, namun peranannya amat penting – iaitu Zero Car.

Dipandu oleh Encik Shah Bandi bersama juruarah Haji Suhaimi Saiko, Zero Car bukan sekadar sebuah kereta, tetapi benteng terakhir keselamatan sebelum rali bermula. Mereka perlu memastikan laluan benar-benar selamat, marshal bersiap siaga, dan penonton berada di tempat yang sesuai.

Bergandingan dengan 00 Car dan 000 Car, Zero Car melengkapkan ritual keselamatan yang menjadi nadi perlumbaan rali. Hanya selepas isyarat hijau diberikan daripada mereka, barulah aksi perlumbaan rali yang penuh adrenalin bermula.

Zero Car yang dipandu oleh Encik Shah Bandi dan juruarah Haji Suhaimi Saiko membuktikan profesionalisme dan pengalaman mereka bahawa dalam dunia rali ini sentiasa bergerak seiring dengan keselamatan dan keterujaan orang ramai untuk menyaksikan perlumbaan rali.

MEMPROMOSIKAN MALAYSIA KE MATA DUNIA

17hb Ogos 2024, Hard Rock Cafe, Ipoh – Majlis Pelancaran RIMBA RAID LENGGONG 2024. Perlumbaan “off-road” tahunan bagi motosikal pengembaraan berkuasa besar dan motosikal “dual-purpose” ini akan menjadi edisi ke-9 sejak edisi pertamanya 2015. Majlis pelancaran ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Bin Haji Nasarah.

Rimba Raid Taman Negara 2023 telah berjaya menarik 279 peserta daripada 24 negara, 33 penaja dan 20 jenama pengeluar.

Bukan sekadar perlumbaan,  Rimba Raid bermatlamat untuk mempromosikan Malaysia ke mata dunia dengan menyajikan keindahan sungai yang merentasi laluan, hutan purba sekitarnya, puncak gunung yang berbumbungkan awan serta kepelbagaian flora dan fauna. Warisan Arkeologi Lembah Lenggong, hutan hujan simpan yang berusia 130 juta tahun,  telah dipilih tahun ini bersesuaian dengan kepelbagaian bentuk muka buminya.

RIMBA RAID LENGGONG 2024 akan diadakan dari 25 September hingga 29 September 2024 berpusat di Tasik Raban, Lenggong, Perak. Semua peserta akan bersaing menakluki laluan “off-road” sepanjang lebih 300 kilometer. Antara halangan yang bakal ditempuh ialah “Lurah Sumpah”, “Slope of Hope” dan “Gate of Despair”.

Pelumba Muda Negara Hayden mengejar Kejuaraan Antarabangsa yang pertama

Pelumba muda Negara Hayden Haikal akan bersaing di perlumbaan Thailand Super Eco di Litar
Antarabangsa Buriram Chang bagi mengejar kejuaraan antarabangsanya yang pertama. Anak muda yang berusia 18 tahun ini yang telah meraih dua kemenangan dan menduduki tempat ketiga sebanyak tiga kali selepas enam perlumbaan dan kini berada di kedudukan kedua keseluruhan di dalam kejuaraan tersebut. Beliau hanya 20 mata dibelakang pelumba Thai Na Dol Vatanatham yang mengumpul 105 mata.

Prestasi dan keputusan perlumbaan kedua-dua pelumba hampir sama namun Vatanatham mempunyai
kelebihan satu kemenangan manakala Hayden gagal memperolehi sebarang mata selepas Honda Brio
yang dipandunya mengalami masalah teknikal di pusingan kedua kejuaraan tersebut.

“Dari segi kiraan mata saya mempunyai peluang yang baik untuk bersaing memenangi kejuaraan
keseluruhan Thailand Super Eco tetapi ini bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi berdepan
dengan saingan yang begitu hebat. Saya akan menumpukan fokus sepenuhnya kepada kedua-dua perlumbaan hujung minggu ini,”

kata Hayden yang berazam membawa balik kejuaraan keseluruhan namun mengakui akan tetap berpuas hati sekiranya habis ditempat kedua memandangkan ini kali pertama beliau bersaing di perlumbaan antarabangsa.

Dua pusingan terakhir perlumbaan Thailand Super Eco melibatkan dua perlumbaan berasingan sebanyak
12 pusingan pada hari Sabtu dan Ahad (10 dan 11 Disember). Seramai 23 pelumba akan bersaing dan
Hayden merupakan satu-satunya wakil pelumba asing yang menyertai. Walaupun berlumba di Thailand untuk kali pertama, prestasi Hayden begitu menyerlah apabila beliau secara konsisten menghabiskan setiap perlumbaan di tiga tempat teratas. Perlumbaan Thailand Super Eco diadakan di litar jalan raya khas Bangsaen dan juga di Litar Antarabangsa Buriram Chang.

Berbekalkan pengalaman lima tahun berlumba di kejuaraan Vios Challenge di Malaysia, Hayden
bagaimanapun tidak gentar apabila beliau memenangi tempat kedua pada perlumbaan pertama beliau
di litar jalan raya Bangsaen pada bulan Jun. Secara keseluruhan tahun ini turut membawa banyak kejayaan kepada Hayden yang turut bergelar juara keseluruhan kategori Super Sporting bagi pelumba-pelumba profesional di dalam Kejuaraan Vios Challenge, dan baru-baru ini menghabiskan perlumbaan Sepang 1000KM di tempat kedua keseluruhan.

“Saya tidak sangka yang saya akan berada diposisi untuk bersaing untuk kejuaraan keseluruhan Thailand Super Eco. Tujuan asal saya berlumba di Thailand adalah sekadar mencari pengalaman yang dapat saya gunakan untuk terus berkembang sebagai seorang pelumba.

Pelumba muda Negara, Hayden Haikal.

Saksikan perlumbaan yang akan disiarkan secara langsung di laman Facebook dan Youtube Thailand Super Series atau di laman web www.thailandsuperseries.net.

Jadual Perlumbaan THAILAND SUPER ECO (Waktu Malaysia)
Sabtu, 10 Disember 2022 2.30 pm – 3.00 pm
Ahad, 11 Disember 2022 9.55 am – 10.25 am

PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR MEMPERTARUHKAN GANDINGAN KASMA-HAZIQ-NAZIRUL IZZAT

Seminggu sebelum bermulanya perlumbaan pertama Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS, pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor telah mengumumkan barisan pelumba pasukan untuk cabaran musim 2021.

Pasukan yang telah memenangi lebih daripada 10 gelaran juara sejak tahun 1997 tersebut,  bakal mempersembahkan gandingan menarik Muhd Haziq Fairues, Nazirul Izzat Bahauddin, serta Kasma Daniel Kasmayudin dalam kategori CP150.

Kepulangan Kasma Daniel ke kancah Cub Prix sememangnya menarik perhatian ramai peminat Cub Prix. Pelumba muda berbakat itu pernah bergelar juara selama tiga tahun berturut-turut. Kasma memenangi gelaran juara CP115 pada tahun 2015, diikuti juara CP130 pada tahun 2016 dan mencatat sejarah sebagai pelumba pertama menjuarai kategori CP150 pada tahun 2017.

Kasma melangkah ke arena CEV pada tahun 2018 dan seterusnya ke kategori Moto2 pada musim 2020. Hanya berusia 21 tahun, Kasma masih berhasrat untuk melanjutkan karier perlumbaannya.

“Saya mengambil keputusan untuk meneruskan karier perlumbaan saya dan saya tidak sabar dapat beraksi semula dalam gelanggang Cub Prix dan Asia Road Racing Championship. Mungkin ramai yang bakal memberikan pandangan negatif terhadap keputusan saya ini, tetapi bagi saya, keputusan ini wajar kerana ia akan membenarkan saya untuk terus menjadi seorang pelumba profesional,”

Kasma Daniel Kasmayudin

Dalam perkembangan kategori seterusnya, juara bertahan CP125 Syafiq Rosli akan dikekalkan dalam kategori yang sama. Musim ini, Syafiq akan bekerjasama dengan Aliff Daniel untuk cabaran kategori tersebut.

10 PUSINGAN UNTUK MUSIM 2021 KEJUARAAN CUB PRIX MALAYSIA PETRONAS

Musim 2021 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS akan kembali menyajikan 10 pusingan perlumbaan, berdasarkan jadual perlumbaan terkini yang telah diumumkan baru-baru ini.

Jadual sementara ini telah diaturkan mengikut SOP pandemik semasa dengan mengambil kira andaian bahawa penonton masih lagi tidak dibenarkan menonton secara langsung di litar untuk musim 2021. Oleh yang demikian, jadual musim 2021 ini mirip jadual musim 2020 di mana semua perlumbaan akan dianjurkan di litar tetap.

Lima daripada sepuluh pusingan musim 2021 akan tertumpu di Litar Antarabangsa Sepang. Dua lagi pusingan akan dianjurkan di Litar Tangkak, Johor dan satu lagi di Terengganu. Buat masa ini, lokasi dua perlumbaan berbaki belum dapat ditetapkan.

“Sekiranya tiada halangan, pihak Cub Prix berharap akan memulakan musim 2021 pada bulan Mac nanti. Namun demikian, harus diingatkan bahawa jadual ini masih tertakluk kepada perubahan semasa,” kata Ron Hogg, Pengarah Safe Aim Mutual Sdn Bhd, penganjur Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS.

Pihak Safe Aim Mutual juga berhasrat menghidupkan semula Kejuaraan Mini Cub Prix yang dikhaskan untuk pelumba-pelumba cilik berusia enam sehingga 12 tahun. Aktiviti pocket bike ini dijangka akan bermula pada bulan Mei atau Jun nanti.

“Tidak dinafikan, musim 2020 adalah musim yang begitu mencabar. Namun, dengan bantuan pelbagai pihak, kami berterima kasih kerana masih sempat menamatkan musim 2020 dengan berjaya. Dalam itu, kami ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada PETRONAS, penaja utama Cub Prix, yang telah banyak membantu meningkatkan taraf sukan permotoran tanahair. Tidak lupa juga rakan-rakan korporat Cub Prix yang turut menyumbangkan sokongan terhadap sukan ini.”

“Bagi pihak semua warga Cub Prix, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia di atas bantuan yang telah dihulurkan selama ini. Kami juga menyeru agar orang ramai terus mematuhi syarat-syarat SOP yang telah ditetapkan. Bersama, kami pasti akan berjaya menangani gejala ini,” tambah Ron.

PENCARIAN BAKAT CUB PRIX BERMULA LAGI

Pencarian bakat Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS bermula lagi dengan objektif mencungkil bakat baharu untuk menyertai tiga kategori satu pengeluar (One Make Race) musim 2021.

Peluang ini terbuka kepada semua warga Malaysia berusia antara 13 tahun hingga 18 tahun yang ingin menceburi dunia perlumbaan buat pertama kali.

“Pendaftaran ini merupakan langkah pertama bagi seseorang pelumba baharu untuk menyertai Kejuaraan Cub Prix PETRONAS. Sesiapa yang berminat hanya perlu mendaftar nama masing-masing. Pelumba-pelumba yang telah disenarai-pendekkan akan diminta hadir di sesi pemilihan seterusnya yang akan dianjurkan oleh pihak Honda dan Yamaha masing-masing,” kata Ron Hogg, Pengarah Safe Aim Mutual Sdn Bhd, penganjur Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS.

Untuk maklumat lanjut serta pendaftaran atas talian, semua pihak yang berminat dijemput melayari https://www.malaysiancubprix.com/rider-search-2021/. Proses pendaftaran dibuka dari sekarang sehingga 15hb Februari 2021.

KOMUNITI CUB PRIX LEGA MUSIM 2020 SELESAI

Musim 2020 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS yang dirumitkan oleh cabaran penganjuran pandemik akhirnya berjaya ditamatkan dengan lancar di Litar Utara Sepang minggu ini.

Meskipun empat pusingan terpaksa ditamatkan dalam jangkamasa hanya enam hari, komuniti Cub Prix tetap bersyukur diberi peluang menghabiskan musim 2020.

“Bagi pihak Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS, kami ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Menteri Kanan Pertahanan, serta agensi-agensi kerajaan seperti KBS, MKN dan KKM di atas kebenaran untuk menghabiskan musim 2020 ini. Tidak dinafi, Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS antara segelintir acara sukan yang sempat menamatkan musim ini dengan begitu lancar,”

“Tidak lupa juga Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Menteri Besar Selangor, YB Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal serta ramai lagi dif-dif kehormat yang turun ke padang untuk turut menyerikan perlumbaan terakhir musim ini di Litar Sepang minggu ini.”

“Di samping itu, kami juga berterima kasih kepada semua penaja kejuaraan serta para penaja pasukan di atas kerjasama dan pemahaman yang diberikan dalam musim yang amat mencabar ini. Peluang untuk menamatkan musim 2020 ini telah melonggarkan kekangan kewangan yang mungkin dihadapi oleh semua pasukan perlumbaan sekiranya empat perlumbaan terakhir tidak dapat dianjurkan. ”

“Yang penting, pihak Cub Prix juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli komuniti Cub Prix, terutamanya pasukan-pasukan perlumbaan. Tidak dinafikan, perlumbaan enam hari dengan empat pusingan berturut-turut menelan kos belanja yang begitu tinggi. Namun begitu, semua pihak menghulurkan kerjasama yang begitu memberangsangkan,”

Ron Hogg, Pengarah Safe Aim Mutual Sdn Bhd

Musim 2020 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS ditamatkan dengan nada genting apabila buruan takhta CP150 dan CP125 hanya ditentukan pada pusingan penutup tirai. Dalam kategori perdana CP150, pertembungan sengit di antara Mohd Helmi Azman dan Azroy Hakeem Anuar menjadi tumpuan ramai. Helmi akhirnya menyambar gelaran juara dengan empat kemenangan daripada enam kedudukan podium musim ini.

JADUAL AKHIR MSBK 2020 DIPINDA KE JANUARI 20 HINGGA 22, 2021

Pusingan kedua dan terakhir Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 20 hingga 22 Januari 2021.

“Berita baik untuk semua di dalam industri sukan permotoran. Para pelumba tidak sabar untuk bertanding di MSBK Pusingan 2 yang pada awalnya dijadualkan pada bulan Oktober tetapi kerana penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakkan Bersyarat (PKPB), ia terpaksa ditunda. Kami berharap dapat menyaksikan pusingan akhir ini kerana ianya akan menjadi acara penutup untuk sukan permotoran pada tahun 2020. Semoga tahun 2021 akan menjadi tahun yang lebih baik untuk industri sukan permotoran tempatan kita. “

Azlan Shafriman Hanif, Ketua Pegawai Eksekutif, Litar Antarabangsa Sepang.