Musim 2021 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS akan kembali menyajikan 10 pusingan perlumbaan, berdasarkan jadual perlumbaan terkini yang telah diumumkan baru-baru ini.
Jadual sementara ini telah diaturkan mengikut SOP pandemik semasa dengan mengambil kira andaian bahawa penonton masih lagi tidak dibenarkan menonton secara langsung di litar untuk musim 2021. Oleh yang demikian, jadual musim 2021 ini mirip jadual musim 2020 di mana semua perlumbaan akan dianjurkan di litar tetap.
Lima daripada sepuluh pusingan musim 2021 akan tertumpu di Litar Antarabangsa Sepang. Dua lagi pusingan akan dianjurkan di Litar Tangkak, Johor dan satu lagi di Terengganu. Buat masa ini, lokasi dua perlumbaan berbaki belum dapat ditetapkan.
“Sekiranya tiada halangan, pihak Cub Prix berharap akan memulakan musim 2021 pada bulan Mac nanti. Namun demikian, harus diingatkan bahawa jadual ini masih tertakluk kepada perubahan semasa,” kata Ron Hogg, Pengarah Safe Aim Mutual Sdn Bhd, penganjur Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS.
Pihak Safe Aim Mutual juga berhasrat menghidupkan semula Kejuaraan Mini Cub Prix yang dikhaskan untuk pelumba-pelumba cilik berusia enam sehingga 12 tahun. Aktiviti pocket bike ini dijangka akan bermula pada bulan Mei atau Jun nanti.
“Tidak dinafikan, musim 2020 adalah musim yang begitu mencabar. Namun, dengan bantuan pelbagai pihak, kami berterima kasih kerana masih sempat menamatkan musim 2020 dengan berjaya. Dalam itu, kami ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada PETRONAS, penaja utama Cub Prix, yang telah banyak membantu meningkatkan taraf sukan permotoran tanahair. Tidak lupa juga rakan-rakan korporat Cub Prix yang turut menyumbangkan sokongan terhadap sukan ini.”
“Bagi pihak semua warga Cub Prix, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia di atas bantuan yang telah dihulurkan selama ini. Kami juga menyeru agar orang ramai terus mematuhi syarat-syarat SOP yang telah ditetapkan. Bersama, kami pasti akan berjaya menangani gejala ini,” tambah Ron.