IZZAT ZAIDI MENCIPTA REKOD BAHARU DI LITAR SEPANG SELATAN

IZZAT ZAIDI MENCIPTA REKOD BAHARU DI LITAR SEPANG SELATAN

Pelumba Ipone Yamaha YY Pang Racing Team, Mohd Izzat Zaidi Mohd Salehan berjaya mencipta rekod baharu di Litar Sepang Selatan dengan catatan masa 1’15.190s.

Menurut Izzat, keputusan yang diperolehi dari sesi kelayakan CP150 pusingan pembuka tirai Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2021 tersebut sememangnya tidak dijangka.

“Kami masih belum mendapat garis perlumbaan yang paling optima untuk tahun ini. Corak penunggangan semua pelumba harus berubah kerana regulasi baharu musim 2021 menghadkan rpm (putaran seminit) ke 14,000 rpm,” jelas Izzat.

“Tidak dinafikan, keputusan ini sememangnya penyuntik semangat untuk pasukan Ipone Yamaha YY Pang Racing Team and ianya petunjuk yang agak positif bahawa kerja keras pasukan tiga bulan ini bakal membuahkan hasil. Saya akan membawakan semangat yang sama untuk membuat yang terbaik di sesi SuperPole esok,” katanya lagi.

Keputusan Izzat disusuli pelumba Honda Yuzy Idemitsu Team, Azroy Hakeem Anuar yang mencatat masa 1’15.409s. Juara bertahan CP150, Mohd Helmi Azman mencatat masa ketiga terpantas, 1’15.423s.

Sementara itu, Kasma Daniel Kasmayuddin yang telah meninggalkan arena Cub Prix selama dua tahun, ternyata masih mencari kembali rentak penunggangan jentera ‘underbone’. Pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu tidak dapat melayakkan diri ke sesi SuperPole apabila hanya mencatat masa ke-14 dengan catatan masa 1’16.240s.

Dalam kategori CP125, catatan masa terpantas dirakam oleh pelumba ONEXOX TKKR Racing Team Mohd Hafiza Rofa dengan catatan masa 1’32.306s. Namun begitu, pelumba wanita Siti Norafizah Mohamad dari pasukan baharu TUNEBOSS Pink Racing mencuri tumpuan apabila mencatat masa kedua terpantas 1’33.005s di dalam kategori pertengahan itu.

Catatan masa kategori Wira KBS dicatat oleh Mohd Syamil Amsyar M. Iffende dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing dengan masa 1’34.222s.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *