Azroy Ungguli Pusingan 3 Litar Antarabangsa Sepang (Utara) Dalam Keadaan Basah

Azroy Ungguli Pusingan 3 Litar Antarabangsa Sepang (Utara) Dalam Keadaan Basah

Kejohanan PETRONAS Malaysian Cub Prix yang kini rancak semula dengan penganjuran Pusingan 3 dan 4 di Litar Utara Sepang telah menyaksikan pelbagai rintangan cuaca sepanjang minggu perlumbaan. Dari kepanasan yang begitu terik pada sesi kelayakan sehinggalah hujan lebat pada hari perlumbaan untuk Pusingan 3, cabaran cuaca ini menguji kebolehan semua pelumba dan kru pasukan.

Keadaan cuaca yang sering bertukar bermakna pasukan serta pelumba yang paling bersedia untuk menghadapi perubahan akan mendapat kelebihan dalam perlumbaan Pusingan 3 tadi. Pelumba dan pasukan yang paling bersiap-sedia merupakan Azroy Hakeem Anuar dan Honda Yuzy Idemitsu Team.

Pasukan Honda Yuzy Idemitsu Team berjaya menyesuaikan penyelarasan motosikal pasukan untuk menghadapi perlumbaan basah. Memulakan perlumbaan dari petak kedua, Azroy berjaya memimpin perlumbaan seawal pusingan kedua.

Persembahan Azroy yang begitu konsisten sukar digugat. Pada akhir perlumbaan sepanjang 11 lap itu, Azroy mencatat kemenangan dengan catatan masa 16’25.297 saat, 6.890 saat di hadapan Mohd Izzat Zaidi Salehan dari pasukan Ipone Yamaha YY Pang Racing Team dan 26 saat di hadapan pelumba tempat ketiga, Kasma Daniel Kasmayuddin.

“Sememangnya pasukan kami mengidamkan perlumbaan basah kerana kami jelas bahawa pasukan kami mempunyai kelebihan dalam perlumbaan basah,” kata Azroy yang baru berjaya mendirikan rumah tangga semasa kejohanan Cub Prix terpaksa direhatkan selama lima bulan.

Azroy kini mendahului kejohanan dengan 45 mata, disusuli Mohd Izzat Zaidi di tangga kedua dengan 41 mata dan Mohd Muzakkir Mohamed jatuh ke tangga ketiga dengan 33 mata.

Sementara itu, perlumbaan CP125 Akhir merupakan perlumbaan yang paling mencabar dalam Pusingan 3. Hujan lebat yang turun, terutamanya di selekoh pertama, kedua dan ketiga, melambatkan rentak perlumbaan.

Ahmad Syukran Aizat dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing mengambil kesempatan mendahului perlumbaan. Namun, Syukran terjatuh pada lap ketiga akibat terlalu gopoh.

Mohd Fareez Afeez dari pasukan Ipone Yamaha YY Pang Racing Team memimpin perlumbaan dari lap ke empat sehingga lap ketujuh. Akan tetapi, rentak Fareez terlalu konservatif. Pada lap terakhir, Fareez dicabar hebat oleh Mohd Hafiza Rofa dari pasukan ONEXOX TKKR Racing Team.

Hafiza bijak mencuri angin sehingga berjaya mencapai kemenangan dengan catatan masa 13’15.516s. Fareez pula kecewa di tempat kedua dengan 13’15.644s. Mohd Harith Farhan Baharin menghadiahkan podium tempat ketiga kepada pasukan TUNEBOSS Pink Racing.

Mohd Adib Rosley masih mampu mengekalkan kedudukannya di tangga teratas CP125. Adib menamatkan perlumbaan di tempat ke-4 dan kini mendahului dengan 54 mata


CP150 FINAL

1. Azroy Hakeem Anuar (Honda, Honda Yuzy Idemitsu Team), 16’25.297s

2. Mohd Izzat Zaidi Mohd Salehan (Yamaha, Ipone Yamaha YY Pang Racing Team), 16’32.187s

3. Kasma Daniel Kasmayuddin (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha-Maju Motor), 16’51.832s

CP150 STANDINGS

1. Azroy Hakeem Anuar (Honda, Honda Yuzy Idemitsu Team), 45 pts

2. Mohd Izzat Zaidi Mohd Salehan (Yamaha, Ipone Yamaha YY Pang Racing Team), 41 pts

3. Mohd Muzakkir Mohamed (Yamaha, ONEXOX TKKR Racing Team), 33 pts

CP125 FINAL

1. Mohd Hafiza Rofa (Yamaha, ONEXOX TKKR Racing Team), 13’15.516s

2. Mohd Fareez Afeez Abd Rahman (Yamaha, Ipone Yamaha YY Pang Racing Team), 13’15.644s

3. Mohd Harith Farhan Baharin (Yamaha, TUNEBOSS Pink Racing), 13’15.750s

CP125 STANDINGS

1. Mohd Adib Rosley (Yamaha, Ipone Yamaha YY Pang Racing Team), 54 pts

2. Mohd Fareez Afeez Abd Rahman (Yamaha, Ipone Yamaha YY Pang Racing Team), 49 pts

3. Mohd Hafiza Rofa (Yamaha, ONEXOX TKKR Racing Team), 45 pts


Sumber Berita @Malaysian CubPrix

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *