Azroy Ungguli Pusingan 3 Litar Antarabangsa Sepang (Utara) Dalam Keadaan Basah

Kejohanan PETRONAS Malaysian Cub Prix yang kini rancak semula dengan penganjuran Pusingan 3 dan 4 di Litar Utara Sepang telah menyaksikan pelbagai rintangan cuaca sepanjang minggu perlumbaan. Dari kepanasan yang begitu terik pada sesi kelayakan sehinggalah hujan lebat pada hari perlumbaan untuk Pusingan 3, cabaran cuaca ini menguji kebolehan semua pelumba dan kru pasukan.

Keadaan cuaca yang sering bertukar bermakna pasukan serta pelumba yang paling bersedia untuk menghadapi perubahan akan mendapat kelebihan dalam perlumbaan Pusingan 3 tadi. Pelumba dan pasukan yang paling bersiap-sedia merupakan Azroy Hakeem Anuar dan Honda Yuzy Idemitsu Team.

Pasukan Honda Yuzy Idemitsu Team berjaya menyesuaikan penyelarasan motosikal pasukan untuk menghadapi perlumbaan basah. Memulakan perlumbaan dari petak kedua, Azroy berjaya memimpin perlumbaan seawal pusingan kedua.

Persembahan Azroy yang begitu konsisten sukar digugat. Pada akhir perlumbaan sepanjang 11 lap itu, Azroy mencatat kemenangan dengan catatan masa 16’25.297 saat, 6.890 saat di hadapan Mohd Izzat Zaidi Salehan dari pasukan Ipone Yamaha YY Pang Racing Team dan 26 saat di hadapan pelumba tempat ketiga, Kasma Daniel Kasmayuddin.

“Sememangnya pasukan kami mengidamkan perlumbaan basah kerana kami jelas bahawa pasukan kami mempunyai kelebihan dalam perlumbaan basah,” kata Azroy yang baru berjaya mendirikan rumah tangga semasa kejohanan Cub Prix terpaksa direhatkan selama lima bulan.

Azroy kini mendahului kejohanan dengan 45 mata, disusuli Mohd Izzat Zaidi di tangga kedua dengan 41 mata dan Mohd Muzakkir Mohamed jatuh ke tangga ketiga dengan 33 mata.

Sementara itu, perlumbaan CP125 Akhir merupakan perlumbaan yang paling mencabar dalam Pusingan 3. Hujan lebat yang turun, terutamanya di selekoh pertama, kedua dan ketiga, melambatkan rentak perlumbaan.

Ahmad Syukran Aizat dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing mengambil kesempatan mendahului perlumbaan. Namun, Syukran terjatuh pada lap ketiga akibat terlalu gopoh.

Mohd Fareez Afeez dari pasukan Ipone Yamaha YY Pang Racing Team memimpin perlumbaan dari lap ke empat sehingga lap ketujuh. Akan tetapi, rentak Fareez terlalu konservatif. Pada lap terakhir, Fareez dicabar hebat oleh Mohd Hafiza Rofa dari pasukan ONEXOX TKKR Racing Team.

Hafiza bijak mencuri angin sehingga berjaya mencapai kemenangan dengan catatan masa 13’15.516s. Fareez pula kecewa di tempat kedua dengan 13’15.644s. Mohd Harith Farhan Baharin menghadiahkan podium tempat ketiga kepada pasukan TUNEBOSS Pink Racing.

Mohd Adib Rosley masih mampu mengekalkan kedudukannya di tangga teratas CP125. Adib menamatkan perlumbaan di tempat ke-4 dan kini mendahului dengan 54 mata


CP150 FINAL

1. Azroy Hakeem Anuar (Honda, Honda Yuzy Idemitsu Team), 16’25.297s

2. Mohd Izzat Zaidi Mohd Salehan (Yamaha, Ipone Yamaha YY Pang Racing Team), 16’32.187s

3. Kasma Daniel Kasmayuddin (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha-Maju Motor), 16’51.832s

CP150 STANDINGS

1. Azroy Hakeem Anuar (Honda, Honda Yuzy Idemitsu Team), 45 pts

2. Mohd Izzat Zaidi Mohd Salehan (Yamaha, Ipone Yamaha YY Pang Racing Team), 41 pts

3. Mohd Muzakkir Mohamed (Yamaha, ONEXOX TKKR Racing Team), 33 pts

CP125 FINAL

1. Mohd Hafiza Rofa (Yamaha, ONEXOX TKKR Racing Team), 13’15.516s

2. Mohd Fareez Afeez Abd Rahman (Yamaha, Ipone Yamaha YY Pang Racing Team), 13’15.644s

3. Mohd Harith Farhan Baharin (Yamaha, TUNEBOSS Pink Racing), 13’15.750s

CP125 STANDINGS

1. Mohd Adib Rosley (Yamaha, Ipone Yamaha YY Pang Racing Team), 54 pts

2. Mohd Fareez Afeez Abd Rahman (Yamaha, Ipone Yamaha YY Pang Racing Team), 49 pts

3. Mohd Hafiza Rofa (Yamaha, ONEXOX TKKR Racing Team), 45 pts


Sumber Berita @Malaysian CubPrix

SAINGAN SENGIT CUB PRIX 2021 BERSAMBUNG

Saingan sengit CP150 bakal bersambung minggu ini di Litar Sepang Utara setelah Kejuaraan PETRONAS Cub Prix Malaysia tertangguh lebih 5 bulan akibat Covid-19. Saingan CP150 musim ini agak sengit menyaksikan enam pelumba berbeza bertukar kedudukan podium.

Selepas tamat dua pusingan, Nazirul Izzat Bahauddin yang mewakili pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor mendahului kedudukan keseluruhan dengan 29 mata setelah berjaya melakar kemenangan pertama bersama pasukan baharunya itu. Kemenangan tersebut membolehkan beliau merampas persada kejuaraan daripada pelumba ONEXOX TKKR Racing Team, Muzakkir Mohamed dengan hanya perbezaan 1 mata. Muzakkir yang mencipta kejutan dengan kemenangan sulung peribadi dalam kelas premier pada perlumbaan pembukaan musim ini hanya mengutip 3 mata untuk berada di tempat kedua keseluruhan.   

Pelumba ‘rookie’ paling cemerlang musim lalu, Izam Ikmal membuktikan bahawa beliau mampu bersaing dengan pelumba-pelumba senior apabila kini berada di tangga ketiga dengan keseluruhan 25 mata, hanya 3 mata dari pendahulu kejuaraan. Pelumba SCK Honda Racing Team itu berjaya mencuri kedudukan podium Pusingan 2 dengan menduduki tempat ketiga dalam perlumbaan yang sangat sengit dan mendebarkan. Md Izzat Zaidi Md Salehan dari Ipone Yamaha YY Pang Racing Team yang menduduki tempat kedua pada Pusingan 1 jatuh dua kedudukan apabila hanya berjaya mengutip 1 mata pada Pusingan 2. Izzat kini berada di tempat keempat dengan 21 mata.

Kekecewaan Azroy Hakeem Anuar yang gagal memulakan perlumbaan pada Pusingan 1 disebabkan masalah teknikal sejurus sebelum perlumbaan sedikit terubat apabila menamatkan perlumbaan Pusingan 2 di tempat kedua. 20 mata tersebut melonjakkan beliau ke tangga kelima keseluruhan.

Affendi Rosli yang juga mengumpul 20 mata di tempat keenam mendahului rakan sepasukan Aiman Tahiruddin dan Ahmad Afif Amran di tempat kelima dan keenam dengan masing-masing mengumpul 19 dan 18 mata. Prestasi seimbang ketiga-tiga pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing ini membolehkan mereka kini mendahului kedudukan keseluruhan pasukan dengan jumlah 48 mata, mendahului ONEXOX TKKR Racing Team dengan jurang 3 mata manakala PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor di tempat ketiga setelah mengumpul 40 mata.

Juara bertahan CP150, Helmi Azman dari pasukan SCK Honda Racing Team masih belum berpeluang menjejakkan kaki ke podium kini berada di tangga kesembilan dengan 15 mata manakala pelumba senior Ahmad Fazrul Sham yang kini bersama Yamaha GENBLU AHM Motor Sports yang mengutip 13 mata melengkapkan senarai 10 pelumba teratas keseluruhan CP150 selepas 2 pusingan.

Perlumbaan CP150 pada minggu ini pastinya menjanjikan debaran apabila mana-mana pelumba dilihat mampu untuk menjejakkan kaki ke atas podium.

Dalam pada itu, Adib Rosley yang mengungguli kelas CP125 dengan dua podium dan satu kemenangan mendahului juara musim lalu, Syafiq Rosli dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor dengan perbezaan 6 mata. Syafiq yang memenangi perlumbaan sulung musim ini hanya mengumpul 10 mata pada pusingan lalu untuk berada di tempat kedua. Rakan sepasukan Adib dari Ipone Yamaha YY Pang Racing Team, Fareez Afeez Abd Rahman kini di tempat ketiga berkongsi 29 mata dengan Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff dari PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing. Pelumba ONEXOX TKKR Racing Team, Hafiza Rofa yang gagal menamatkan perlumbaan setelah terjatuh ketika memimpin perlumbaan pembukaan mengisi kedudukan kelima dengan 20 mata apabila menduduki tempat kedua pada perlumbaan lalu.

Ipone Yamaha YY Pang Racing Team kini selesa mendahului kedudukan keseluruhan pasukan dengan 70 mata diikuti PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor dengan 49 mata dan ONEXOX TKKR Racing Team di tempat ketiga dengan 38 mata.

Kategori Wira KBS menyaksikan dominasi pelumba-pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing apabila kedua-dua pelumba mereka Md Aqil Danial Nasrul dan Md Syamil Amsyar Md Iffende mengumpul 41 mata mendahului pelumba lain. Rakan sepasukan mereka, Danial Johan berada di kedudukan ketiga hanya dengan perbezaan satu mata.

Setelah berselang lebih 5 bulan, semua pelumba ternyata tidak sabar untuk kembali beraksi pada Pusingan 3 dan 4 yang akan berlangsung di Litar Sepang Utara dari 17-19 September 2021 ini yang akan bersiaran langsung di facebook Malaysian Cub Prix. Penonton siaran langsung ini juga berpeluang memenangi sebuah motosikal pada setiap pusingan serta pelbagai hadiah bernilai RM100,000 dalam peraduan ‘Siapa Punya Motor?’.

sumber Malaysian Cub Prix

Valentino Rossi Umum Persaraan





Rossi akan mengakhiri karier 26 tahun Grand Prix diakhir musim 2021 ini, dimana telah menyaksikan beliau merangkul tujuh Kejuaraan Dunia kelas utama, memenangi 115 Grands Prix, termasuk rekod 89 kemenangan kelas utama, dan berada di podium sebanyak 235 kali sejak tahun 1996 . Pengumuman yang dibuat pada awal bulan Ogos tempohari sebelum berlangsungnya pusingan di Redbull Spielberg Austria

Pada permulaanya beliau mengambil keputusan persaraan untuk tahun depan (2022) setelah cuti musim panas tetapi akhirnya memutuskan untuk berhenti pada akhir musim 2021 ini, kata pelumba kelahiran Itali itu. “Ini akan menjadi separuh musim terakhir saya sebagai pelumba MotoGP. Dan  ini adalah saat yang sangat menyedihkan dan sukar untuk diperkatakan dan mengetahui bahawa tahun depan (musim 2022) saya tidak akan berlumba”

“Tahun hadapan 2022, hidup saya akan berubah. Sepanjang karier, saya amat menikmati perjalanan yang panjang dan sangat menyeronokkan ini. 26 tahun di Kejuaraan Dunia,untuk jadi hebat. Dan saya mempunyai saat-saat yang tidak dapat dilupakan dengan semua teman-teman saya, orang-orang yang bekerja untuk saya, jadi saya tidak mahu bercakap banyak : Hanya ini.” jelas Valentino Rossi 

Sepanjang baki Kejuaraan Dunia MotoGP 2021 ini beliau akan terus memberikan fokus bersama Pasukan Petronas Yamaha SRT sebelum memberikan fokus sepenuhnya kepada pengurusan pasukan MotoGP barunya, Aramco Racing Team VR46, pada tahun 2022.

www.beritalitar.com

FIM ASIA ROAD RACING CHAMPIONSHIP 2021 – DIJANGKA BERMULA PADA SUKU KEEMPAT TAHUN; PUSINGAN CHINA DAN AUSTRALIA DIBATALKAN

China dan Australia yang terpaksa melupakan siri pusingan perlumbaan dari *FIM Asia Road Racing Championship untuk musim 2021. Dua pusingan yang terjejas adalah China (Zhuhai International Circuit dari 30 Julai hingga 1 Ogos) dan Australia (The Bend Motorsport Park dari 23 hingga 26 September 2021).

Walaupun begitu, pihak penganjur perlumbaan iaitu Two Wheels Motor Racing Sdn Bhd, optimis musim 2021 hanya akan bermula pada suku keempat tahun ini. Dengan itu, kalendar baru 2021 akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Ron Hogg, Pengarah, Two Wheels Motor Racing

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan penganjur serta pihak pengurusan di Litar Antarabangsa Zhuhai, China dan The Bend Motorsport Park, Australia.

Berbagai usaha telah dilakukan untuk mengekalkan dua tarikh perlumbaan tersebut. Namun begitu, dengan mengambil kira prosedur kuarantin, kami telah sebulat suara membatalkan perlumbaan di China dan Australia pada tahun ini. Semua pihak telah memutuskan untuk lebih fokus dengan usaha yang telah dilakukan sebelum ini supaya ianya menjadi realiti pada 2022.

Kami ingin meminta maaf kepada semua peminat sukan permotoran Asia. Bagi pihak Kejohanan Perlumbaan Asia Road Racing , saya ingin menyatakan bahawa Musim 2021 terpaksa ditangguhkan dan hanya akan bermula pada suku keempat tahun ini. Sementara itu, kami berharap agar semua orang terus kekal selamat. Mari kita bersama jalankan peranan masing-masing supaya wabak ini terkawal sehingga sukan ini dapat kembali beraksi secepat mungkin. “

Stephan Carapiet, Presiden, FIM Asia

“FIM Asia menyokong keputusan FIM Asia Road Racing Championship untuk membatalkan pusingan perlumbaan di China dan Australia. Walaupun mengecewakan, kami percaya bahawa semua pihak akan dapat meneruskan aksi pada tahun berikutnya. Pada masa yang sama, kami menantikan kalendar baru yang akan segera dikeluarkan untuk permulaan perlumbaan musim 2021 “

KEMENANGAN DAMOK PERKARA BIASA

Jangan salah anggap dengan tajuk ye.. Baca penuh artikel ni dulu…Agak panjang dan pihak kami (Berita Litar) amat menghargai segala komen dan kritikan yang membina

Artikel ini bukanlah untuk mengatakan tentang kemenangan Damok atau nama penuhnya Syarifuddin Azman, bintang yang mula digilap bakatnya dari kejuaraan satu pengeluar Kejuaraan Cub Prix Malaysia yang ketika ini tengah viral selepas kemenangannya di CEV.

Bahkan laman rasmi Perdana Menteri dan Menteri Belia dan Sukan turut mengucapkan tahniah kepada Damok.

Sebelum bercerita lanjut, terlebih dahulu kami turut ucapkan tahniah yang tidak terhingga di atas kemenangan Damok dalam saingan Moto3 Junior CEV di Litar Catalunya, Barcelona

Satu aksi yang hebat dan strategi perlumbaan yang bijak ditunjukkan oleh Damok dan seluruh pasukan yang turut diterajui bersama-sama pasukan ZK Racing dan SIC.

Sebenarnya dengan kemenangan Damok, apa yang dapat dibuktikan oleh sukan permotoran Malaysia ialah kita mempunyai bakat yang sama handal dengan pelumba luar khususnya Eropah, dan program pembangunan sukan permotoran yang kita ada juga sangat baik.

Pentas podium bukanlah “perkara luar biasa” lagi bagi pelumba Malaysia di luar negara. Yang luar biasa ialah kalau bola sepak kita berjaya ke Piala Dunia. Itu sangat luar biasa!

Buktinya, bila bercakap tentang saingan di Eropah, kita mempunyai bakat-bakat yang handal tidak kira dalam saingan dua tayar atau empat tayar.

Dalam perlumbaan kereta formula, nama seperti Jazeman Jaafar dan lain-lain sentiasa memberikan saingan yang hebat. Gelaran juara dan pentas podium berjaya dinikmati pelumba kereta formula ini.

Begitu juga dalam perlumbaan gokart mahupun rally (Karamjit Singh) dan drift (Tengku Djan), kita mempunyai pelumba yang berdaya saing.

Dalam perlumbaan dua tayar seperti supermoto, motard, dan terutama sekali saingan road race, kita tidak ketinggalan melahirkan bintang tidak kira di Asia ataupun Eropah. Anda boleh google sendiri untuk mencari nama-nama mereka.

Pentas Kejuaraan Motosikal Asia bukanlah perkara asing, beberapa juara Asia telah kita lahirkan.

Berbalik kepada Kejuaraan Eropah atau dikenali CEV ketika ini, pentas podium juga bukanlah perkara asing kepada pelumba kita.

Rekod terbaik ketika ini milik Hafizh Syahrin yang pernah dua kali memenangi perlumbaan Moto2 CEV pada tahun 2013.

Shahrol Yuzy juga pernah beberapa kali menaiki podium sewaktu bersaing di Kejuaraan Eropah dalam kategori 250cc sebelum ke MotoGP.

Begitu juga Khairul Idham Pawi pada 2015, beberapa kali beliau menaiki podium. Walaupun gagal menjuarai perlumbaan di CEV namun telah berjaya mencetak namanya sebagai pemenang dua kali perlumbaan Moto3 di pentas GP.

Malahan juga Azlan Shah Kamuzaman dan Zaqhwan Zaidi Juara Asia yang turut pernah beraksi didalam MotoGP dan Kejuaraan Endurance berprestij

Tidak ketinggalan dengan Adam Norrodin ketika ini. Selain itu, beberapa pelumba negara seperti Obert Rosnizam Mohd Noor, Baby Hulk Hafiq Azmi, Izam Ikmal (dan lain-lain pelumba lagi yang kami tidak sebutkan nama).

Jadi sebenarnya memang terbukti kita setaraf dengan pelumba Eropah, tidak perlulah kita terlalu memandang tinggi lagi pelumba-pelumba luar negara kerana jika teknologi dan keupayaan modal kita sama seperti mereka, rasanya ramai lagi pelumba kita berada di podium, bahkan mungkin sudah ada bergelar juara keseluruhan namun malangnya kita tidak memiliki perkara asas tersebut iaitu teknologi dan kewangan. (Bab teknologi, kita kupas artikel lain nanti).

Dengan keupayaan modal yang agak terhad terutama jika dibandingkan dengan Thailand dan Indonesia, kita masih berupaya melahirkan pelumba-pelumba podium.

Bayangkan bagaimana jika sukan bermotor mempunyai dana sebagaimana yang dinikmati sukan bola sepak? Anda pasti ada jawapan sendiri.

Kejuaraan Cub Prix Malaysia yang sudah hampir mencecah usia 30 tahun, secara berperingkat telah membawa perubahan dan membangunkan sukan permotoran dua roda negara terutama dengan sokongan jitu Petronas.

Tagline Melahirkan Wira Malaysia Masa Hadapan berada di landasan tepat namun kita perlu bersabar, kejayaan bukanlah hadir dalam tempoh singkat. Perkara yang penting adalah terus berusaha dan konsisten!!!

Cub Prix ketika ini adalah ‘pool’ terbesar dalam melahirkan pelumba tidak kira yang mempunyai cita-cita ke pentas lebih tinggi atau sebagai ruang kerjaya.

Malangnya sukan perlumbaan profesional ini masih gagal mendapat perhatian tinggi terutama golongan korporat. Buktinya setiap musim, pasukan masih bergelut mendapatkan penajaan (juga kita bincang dalam artikel lain).

Kita harapkan agar sukan permotoran dapat diberi pengiktirafan sebagaimana sukan-sukan lain dan dapat berada dalam senarai sukan di bawah Majlis Sukan Negara suatu hari nanti.

Pengiktirafan ini mungkin dapat membantu memudahkan sokongan pelbagai pihak terhadap sukan permotoran khususnya dari segi kewangan.

Kepada peminat-peminat, janganlah pula sokongan bermusim. Cuba ambil tahu juga perlumbaan tempatan yang lain tidak kira kereta ataupun motosikal.

Ingat, sukan bermotor ni bukan hanya ada di Eropah!!! Bukan hanya yang berkaitan dengan MotoGP atau F1!!!

Akhir kata, cepatlah Covid19 nyah dari muka bumi. Admin rindu nak ke Cub Prix yang tertangguh dan juga melihat aksi pelumba-pelumba di ARRC. Dua tahun dah tertangguh ni, naya sungguh!!!

MAJULAH SUKAN PERMOTORAN MALAYSIA

Sumber Gambar Google

PUSINGAN 3 KEJUARAAN CUB PRIX MALAYSIA PETRONAS DITUNDA

Safe Aim Mutual Sdn Bhd, selaku penganjur Kejuaraan Cub Prix Malaysia, ingin memaklumkan bahawa Pusingan 3 yang dijadualkan berlangsung di Litar Tangkak pada Mei 22 dan 23 akan ditunda ke tarikh baru yang akan diumumkan nanti.Keputusan ini dibuat untuk mematuhi pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terkini.Kalendar baharu untuk musim 2021 akan diumumkan dalam masa terdekat.Safe Aim Mutual Sdn Bhd meminta maaf kepada semua warga Cub Prix di atas kesulitan yang mungkin dialami. Pada masa yang sama, kami turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua rakan kongsi serta penganjur kejuaraan di atas kerjasama dan pemahaman mereka.Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS turut meminta orang ramai agar senantiasa mengikuti panduan SOP keselamatan untuk sama-sama membanteras wabak Covid-19.

Sumber @Malaysian Cubprix

Nazirul Izzat Takluk Pusingan ke-2 Kejuaraan Petronas Malaysia Cubprix

Nazirul Izzat dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor Racing Team yang menjuarai kategori CP150 Pusingan ke-2. Dalam saingan yang agak sengit bermula dari awal perlumbaan dimana takhta pendahulu yang bersilih ganti di setiap pusingan. Tahniah buat Nazirul Izzat.
Manakala Azroy Hakeem Anuar dari Yuzy Racing yang gagal memulakan perlumbaan dipusingan pertama berjaya berada di kedudukan kedua diikuti oleh Md Izam Ikmal dari pasukan SCK Racing di tempat yang ketiga

Keputusan penuh boleh diikuti di laman https://www.malaysiancubprix.com/utama/keputusan/

Galeri gambar disini :
https://www.facebook.com/media/set/?vanity=beritalitar&set=a.789080285130805&__tn__=%2CO
https://www.facebook.com/beritalitar/posts/789080338464133?__cft__[0]=AZVsgEud6uG_hlS70Cq2Fxh56VJIg8T0hJYry6jGmmcez_M6ew4MNdXmrMs_5R6ImZZrBl2S14QodJedV-BcvWcQtuJ8NFNN2uMIPJCRCywDMKHXfQG2tyFleyKISGvAXkSUskiwKDodhfJHCBQjD3-a4upCnGqUU0vGakZrERUreEjfj65vraNnGhdZPPOsFNo&__tn__=%2CO%2CP-R

AIMAN TAHIRUDDIN MENGUASAI SESI KELAYAKAN CP150 PUSINGAN KEDUA KEJUARAAN CUB PRIX MALAYSIA PETRONAS

Pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing, Mohd Aiman Tahiruddin membuat kejutan apabila menguasai sesi kelayakan CP150 di pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS yang sedang berlangsung di Litar Sepang Utara minggu ini.

Catatan masa 1’16.736s yang dirakam oleh Aiman dalam saat-saat terakhir sesi kelayakan CP150 membuktikan perkembangan positif dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing. Penambahbaikan dari pasukan CKJ Racing ini juga semakin menyerlah apabila seorang lagi pelumba pasukan, Mohd Affendi Rosli, turut muncul sebagai pelumba ketiga terpantas dengan catatan masa 1’17.052s.

Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Yuzy Idemitsu Team menamatkan sesi kelayakan di tangga kedua terpantas dengan catatan masa 1’17.010s. Rekod Lap terpantas 1’16.426s kategori CP150, di Litar Sepang Utara masih lagi dalam genggaman Azroy.

“Perlumbaan akhir nanti pasti mencabar. Melihatkan catatan masa dari pelumba-pelumba lain, hanya 0.5 saat membezakan kedudukan saya dengan 15 pelumba terpantas sesi kelayakan tadi. Apa-apapun, saya bersyukur dapat menunaikan hajat saya untuk melayakkan diri ke sesi SuperPole esok,” kata Aiman Tahiruddin.

Mohd Adib Rosley dari pasukan Ipone Yamaha YY Pang Racing Team mendahului sesi kelayakan CP125 dengan catatan masa 1’22.191s. Catatan masa Adib disusuli juara bertahan CP125, Mohd Syafiq Rosli dengan 1’22.709s serta Ahmad Syukran Aizat Mohd Yusoff dengan 1’22.748s.

Pendahulu kategori Wira KBS, Mohd Syamil Amsyar M. Iffende dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing, turut dominan dalam kategori junior tersebut. Syamil Amsyar mendahului sesi kelayakan Wira KBS dengan catatan masa 1’24.864s

PETRONAS MALAYSIAN CUB PRIX CHAMPIONSHIP

ROUND 2 – SEPANG NORTH

QUALIFYING RESULTS

CP150

1. Mohd Aiman Tahiruddin (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing), 1’16.736s

2. Azroy Hakeem Anuar (Honda, Honda Yuzy Idemitsu Team), 1’17.010s

3. Mohd Affendi Rosli (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing), 1’17.052s

CP125

1. Mohd Adib Rosley (Yamaha, Ipone Yamaha YY Pang Racing Team), 1’22.191s

2. Mohd Syafiq Rosli (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor), 1’22.709s

3. Ahmad Syukran Aizat Mohd Yusoff (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing), 1’22.748s

WIRA KBS

1. Mohd Syamil Amsyar M. Iffende (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing), 1’24.864s

2. Mohd Idlan Haqimi Raduan (Honda, Idemitsu DFZ Yam Honda Racing), 1’24.913s

3. Mohd Farish Iqmal Khayrul Elyas (Honda), 1’25.189s


Galeri Gambar : https://www.facebook.com/media/set/?vanity=beritalitar&set=a.788546621850838

2021 Drag Battle Di Sepang

Setelah beberapa tahun menyepi, Acara Drag Battle Test n Tune kembali merancakkan sukan permotoran negara dalam pasca pandemik Covid-19. Dengan kerjasama MUSC – SIC dan tajaan dari pelbagai pihak, acara ini dianggap sebagai pembuka jalan untuk acara-acara drag seterusnya di negara kita.

Acara yang bakal berlangsung pada 9 April 2021 (Jumaat : 3,00 ptg – 12.00 tghmlm) ini akan menampilkan pelbagai katogeri kuasa enjin kereta (21 katogeri). Laluan litar sepanjang 1/4 batu atau 402 meter bakal menjadi medan ujian bagi peserta. Pelbagai hadiah menarik disediakan oleh pihak penganjur untuk menghimpunkan seberapa ramai peserta bagi memeriahkan acara ini.

Acara ini juga boleh diakses atau ditonton melalui FB live stream www.facebook.com/muscmotorsports atau www.muscdragracing.com.my

KATOGERI YANG DIPERTANDINGKAN

A – Na Vios 1nz True Street
B – Na Magma/Campro True Street (Ron100)
C – Na Vtec 4-Door True Street (Ron100)
D – Na<1.8 True Street (Non-Vtec) (Ron100)
E – Na Vtec True Street (Ron100)
F – Edm 2wd True Street
G – Edm Awd True Street
H – Jdm Rwd/Awd True Street (Non-Gtr35)
I – Supercar True Street
J – Gtr35 Hybrid True Street
K – Na<1.8 Pro Street (Non-Vtec)
L – Kcar<1.3 Pro Street
M – Na<2.0 Pro Street (Non-Vtec)
N – Na Vtec Pro Street
O – Turbo 2wd Pro Street
P – Kcar<1.3 Pro Drag
Q – Na Vtec Pro Drag
R – Turbo 2wd Pro Drag
S – Gtr35 Extreme
T – Awd Pro Drag
U – Diesel Pro Drag

SYARAT ASPEK KESELAMATAN & SPEC JENTERA

B. Melayu – https://bit.ly/2HQC1mX
B. Inggeris – https://bit.ly/2GcE0RN

Pertanyaan berkenaan spesifikasi jentera sila Whatsapp:
www.wasap.my/+60162097656 atau www.wasap.my/+60166681490

PENDAFTARAN

Tempah slot anda secara dalam talian di www.muscdragracing.com.my/13Nov20.html

Whatsapp kepada pihak penganjur untuk memaklumkan tempahan anda di:-
www.wasap.my/+60192866282 atau www.wasap.my/+60122220107

Anda juga boleh menyemak status temphan sukses anda di www.muscdragracing.com.my/13Nov20RL.php

Kejohanan Cubprix Pusingan 1 Meriah

Kemeriahan Kejohanan Pusingan 1 Petronas Cubprix Malaysia 2021 yang berlangsung pada 20-21 Mac 2021, terserlah dengan melibatkan seramai 145 orang pelumba dalam pelbagai kategori yang dipertandingkan. Pusingan pembukaan ini yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (Selatan) menampilkan aksi2 yang menarik dan mendebarkan

Kategori perdana CP 150, Kasma Daniel Kasmayudin kembali menghangatkan litar untuk memberikan cabaran kepada pelumba2 lain seperti Helmi Azman (Juara musim 2020), Afif Amran (Juara Musim 2019), Azroy Anuar, Afendi Rosli, Ahmad Fazrol Sham dan lain2 pelumba. Pada pusingan pertama ini Mohd Muzakir Mohamed berjaya menjulang trofi juara kemenangan diikuti rapat oleh Mohd Izzat Zaidi (kedua) dan Afif Amran (ketiga)

Bagi kategori CP 125, penampilan sulung Pink Racing Team yang membariskan Siti Norafizah Muhammad dan Harith Farhan Baharin nyata tidak sia2 apabila berjaya mengutip mata berharga. Cabaran pusingan pertama ini dimenangi oleh Mohd Syafiq Rosli (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) dengan catatan masa 11’10.393s manakala kedua Mohd Fareez Afeez Abd Rahman (Yamaha, Ipone Yamaha YY Pang Racing Team :11’10.888s) dan ketiga Mohd Adib Rosley (Yamaha, Ipone Yamaha YY Pang Racing Team : 11’10.938s)

Katogeri WIRA KBS pula menyaksikan penguasaan pasukan 31 Racing (Yamaha Sprinta Petronas) apabila membolot kedudukan kesemua podium menerusi pelumba2 mereka Mohd Syamil Amsyar M Iffende (Juara), Danial Johan (Kedua) dan Mohd Aqil Danial Nasrul (Ketiga). Tampil memberikan saingan dalam kategori ini Mohd Harith Rosmaza dan Mohd Farish Iqmal Khayrul Elyas yang sentiasa mengekori rapat dikelompok hadapan

CP150

1. Mohd Muzakkir Mohamed (Yamaha, ONEXOX TKKR Racing Team), 14’12.181s

2. Mohd Izzat Zaidi Mohd Salehan (Yamaha, Ipone Yamaha YY Pang Racing Team), 14’12.446s

3. Ahmad Afif Amran (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing), 14’12.503s

4. Mohd Shafiq Rasol (Yamaha, ONEXOX TKKR Racing Team), 14’12.584s

5. Mohd Khairul Ikhwan Ajis (Yamaha, Yamaha Genblu AHM Motor Sports), 14’12.857s

CP125

1. Mohd Syafiq Rosli (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor), 11’10.393s

2. Mohd Fareez Afeez Abd Rahman (Yamaha, Ipone Yamaha YY Pang Racing Team), 11’10.888s

3. Mohd Adib Rosley (Yamaha, Ipone Yamaha YY Pang Racing Team), 11’10.938s

4. Ahmad Syukran Aizat Mohd Yusoff (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing), 11’10.948s

5. Siti Norafizah Mohamad (Yamaha, Tuneboss Pink Racing), 11’11.040s

WIRA KBS

1. Mohd Syamil Amsyar M Iffende (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing), 9’47.467s

2. Danial Johan (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing), 9’56.803s

3. Mohd Aqil Danial Nasrul (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing), 9’56.862s

4. Mohd Harith Rosmaza (Yamaha), 9’56.919s

5. Mohd Farish Iqmal Khayrul Elyas (Honda, Moto1 Koyoko Honda KC Racing Team), 9’56.962s