Pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah dari JDT Racing Team, mencipta kemenangan bergaya dalam Race 1 kelas ASB1000 pada Pusingan 5 Kejuaraan Asia Road Racing (ARRC) 2025 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang.
Bermula cemerlang sebaik perlumbaan dimulakan, Hafizh segera mengambil alih kedudukan pendahulu daripada Azroy Hakeem Anuar dan Muhammad Zaqhwan Zaidi. Persaingan sengit turut melibatkan Keito Abe dan Nakarin Atiratphuvapat yang melengkapkan lima pelumba teratas pada peringkat awal.

Bagaimanapun, keadaan berubah apabila Azroy terjatuh pada Lap 6, diikuti Keito yang turut terjatuh selepas naik ke tempat kedua. Insiden tersebut memberikan ruang kepada Zaqhwan dan Nakarin untuk naik ke kedudukan podium.
Dalam cuaca ekstrem mencecah 41°C, Hafizh menunjukkan kematangan taktikal dengan cemerlang sebelum menamatkan perlumbaan dengan masa 25’26.781s.
Zaqhwan menamatkan di tempat kedua (25’30.043s), manakala Nakarin di tempat ketiga (25’42.950s). Lachlan Epis dan Maiku Watanuki melengkapkan senarai lima pelumba terpantas.
Hafizh menzahirkan penghargaan kepada pasukan, keluarga, peminat serta marshal yang bertugas, sambil menyifatkan kemenangan ini sebagai amat bermakna di laman sendiri.
Keputusan Top 5 Race 1 ASB1000:
- Hafizh Syahrin Abdullah – JDT Racing Team (25’26.781s)
- Muhammad Zaqhwan Zaidi – IDEMITSU Honda Racing Malaysia (25’30.043s)
- Nakarin Atiratphuvapat – Honda Racing Thailand (25’42.950s)
- Lachlan Epis – Savitar Racing Asia (25’56.434s)
- Maiku Watanuki – Team TATARA Aprilia (26’03.532s)
