FIM ASIA ROAD RACING CHAMPIONSHIP 2021 – DIJANGKA BERMULA PADA SUKU KEEMPAT TAHUN; PUSINGAN CHINA DAN AUSTRALIA DIBATALKAN

China dan Australia yang terpaksa melupakan siri pusingan perlumbaan dari *FIM Asia Road Racing Championship untuk musim 2021. Dua pusingan yang terjejas adalah China (Zhuhai International Circuit dari 30 Julai hingga 1 Ogos) dan Australia (The Bend Motorsport Park dari 23 hingga 26 September 2021).

Walaupun begitu, pihak penganjur perlumbaan iaitu Two Wheels Motor Racing Sdn Bhd, optimis musim 2021 hanya akan bermula pada suku keempat tahun ini. Dengan itu, kalendar baru 2021 akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Ron Hogg, Pengarah, Two Wheels Motor Racing

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan penganjur serta pihak pengurusan di Litar Antarabangsa Zhuhai, China dan The Bend Motorsport Park, Australia.

Berbagai usaha telah dilakukan untuk mengekalkan dua tarikh perlumbaan tersebut. Namun begitu, dengan mengambil kira prosedur kuarantin, kami telah sebulat suara membatalkan perlumbaan di China dan Australia pada tahun ini. Semua pihak telah memutuskan untuk lebih fokus dengan usaha yang telah dilakukan sebelum ini supaya ianya menjadi realiti pada 2022.

Kami ingin meminta maaf kepada semua peminat sukan permotoran Asia. Bagi pihak Kejohanan Perlumbaan Asia Road Racing , saya ingin menyatakan bahawa Musim 2021 terpaksa ditangguhkan dan hanya akan bermula pada suku keempat tahun ini. Sementara itu, kami berharap agar semua orang terus kekal selamat. Mari kita bersama jalankan peranan masing-masing supaya wabak ini terkawal sehingga sukan ini dapat kembali beraksi secepat mungkin. “

Stephan Carapiet, Presiden, FIM Asia

“FIM Asia menyokong keputusan FIM Asia Road Racing Championship untuk membatalkan pusingan perlumbaan di China dan Australia. Walaupun mengecewakan, kami percaya bahawa semua pihak akan dapat meneruskan aksi pada tahun berikutnya. Pada masa yang sama, kami menantikan kalendar baru yang akan segera dikeluarkan untuk permulaan perlumbaan musim 2021 “

Kalendar Provisional 2021 ARRC

Selepas melalui saat sukar gara-gara penularan wabak Covid-19, Kejuraan Motosikal Asia (ARRC) FIM bagi edisi 2021 akan kembali dan bakal dilangsungkan sebanyak enam pusingan yang dijadualkan bermula pada Jun depan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pihak penganjur kejuaraan tersebut hari ini, empat negara disenaraikan dalam kalendar provisional bagi musim 2021 itu membabitkan Litar Antarabangsa Sepang (Malaysia), Litar Antarabangsa Zhuhai (China), The Bend Motorsports Park (Australia) dan Litar Antarabangsa Chang Buriram (Thailand).

Malaysia dan Thailand masing-masingnya bakal menjadi hos sebanyak dua kali iaitu bagi aksi pembuka tirai dan juga penutup.

Penyusunan kalendar bagi saingan musim 2021 itu mengambil kira pelbagai faktor terutamanya aspek keselamatan yang berkaitan dengan kemungkinan masih adanya penguatkuasaan larangan perjalanan ke negara-negara tertentu ketika dunia masih belum pulih sepenuhnya daripada pandemik Covid-19.

Justeru, pihak penganjur dan FIM Asia memilih untuk merancang penganjurannya pada pertengahan tahun depan dengan harapan situasi ketika itu bebas sepenuhnya daripada pandemik Covid-19.

Berdasarkan kalendar provisional yang dikeluarkan pihak penganjur hari ini, Litar Antarabangsa Sepang akan menjadi venue untuk aksi Pusingan 1 dan 2 yang masing-masingnya ditetapkan pada 4-6 Jun dan 11-13 Jun 2021.

Pusingan 3 dijadualkan berlangsung pada 30 Julai hingga 1 Ogos di Litar Antarabangsa Zhuhai diikuti Pusingan 4 pada 23-26 September di The Bend Motorsports Park, Australia.

Dua pusingan terakhir akan berlangsung di Litar Antarabangsa Chang Buriram, Thailand masing-masingnya pada 19-21 November dan penutup musim pada 26-28 November.

Menurut Pengarah Two Wheels Motor Racing, Ron Hogg, musim 2020 merupakan saat paling mencabar untuk semua acara sukan gara-gara penularan wabak Covid-19.

Begitupun katanya, pihaknya amat berterima kasih dan menghargai kerjasama semua pihak terutama rakan-rakan korporat serta semua pasukan yang sangat memahami segala permasalahan yang dihadapi ketika berdepan saat-saat sukar.

“Tahun 2020 memang sangat sukar dan mencabar untuk semua acara sukan dan kami selaku promoter untuk kejuaraan Motosikal Asia sangat menghargai kerjasama serta sokongan daripada semua pihak yang terlibat, terutamanya pasukan serta rakan korporat yang turut memahami segala masalah yang dihadapi ketika melalui saat-saat sukar sepanjang berdepan dengan penularan wabak Covis-19,”

Menurutnya lagi, meskipun kalendar provisional untuk musim 2021 ini sudah diumumkan, mungkin akan berlaku beberapa perubahan lagi, namun pihaknya sudah tidak sabar untuk menyaksikan kejuaraan terhebat di Asia itu kembali seperti biasa pada tahun depan.

Ron Hogg, Pengarah Two Wheels Motor Racing

Sementara itu, presiden FIM Asia, Stephen Carapiet sudah tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya untuk melihat kejuaraan tersebut kembali lagi musim depan.

“Kami percaya enam pusingan yang dirancang untuk musim 2021 dianggap sebagai permulaan yang baik bagi memastikan kejuaraan ARRC kembali seperti sebelumnya. Kami di FIM Asia sentiasa komited untuk meneruskan kejuaraan terbesar di Asia ini dan berharap kerjasama baik dengan para pemegang taruh terus terjalin erat bagi memastikan segala yang dirancang dapat direalisasikan dengan sempurna,”

Stephen Carapiet, Presiden FIM Asia