Pusingan 5 IDEMITSU FIM Asia Road Racing Championship menyaksikan Perlumbaan 2 kelas perdana ASB1000 yang penuh dramatik di Litar Antarabangsa Sepang, apabila Azroy Hakeem Anuar (IDEMITSU HONDA RACING MALAYSIA) muncul juara selepas kekecohan di lap terakhir.
Hafizh Syahrin (JDT RACING TEAM) memulakan perlumbaan dengan baik tetapi terus dicabar oleh Azroy seawal selekoh pertama. Beberapa lap awal menyaksikan Hafizh dan Azroy silih berganti di hadapan, manakala Muhammad Zaqhwan Zaidi (IDEMITSU HONDA RACING MALAYSIA), Keito Abe (SDG HARC-PRO. HONDA PHILIPPINES) dan Nakarin Atiratphuvapat (HONDA RACING THAILAND) turut bersaing rapat.
Pada Lap 3, Zaqhwan memintas Hafizh untuk mendahului sambil mencatatkan masa terpantas 2’06.362s. Azroy mula bangkit, memintas Keito dan semakin menghampiri kelompok hadapan dengan rentetan lap terpantas 2’06.166s, 2’06.028s dan 2’06.003s antara Lap 6 hingga 10.

Lap 11 menyaksikan Hafizh kembali ke depan, membuka jalan kepada penamat yang mendebarkan. Di lap terakhir, Zaqhwan cuba memintas Hafizh namun berlaku perlanggaran dan kedua-duanya terjatuh. Situasi itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Azroy yang melintasi garisan penamat pertama dengan masa 25’26.719s.

Nakarin menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan 25’29.682s, manakala Andi Farid Izdihar (ASTRA HONDA RACING TEAM) di tempat ketiga dengan 25’29.750s.
TOP 5 TERPANTAS – PERLUMBAAN 2
AZROY HAKEEM ANUAR – IDEMITSU HONDA RACING MALAYSIA (25’26.719s)
NAKARIN ATIRATPHUVAPAT – HONDA RACING THAILAND (25’29.682s)
ANDI FARID IZDIHAR – ASTRA HONDA RACING TEAM (25’29.750s)
KEITO ABE – SDG HARC-PRO. HONDA PHILIPPINES (25’30.101s)
LACHLAN EPIS – SAVITAR RACING ASIA (25’44.709s)
