ADIB JUARA CP125 MUSIM 2021

ADIB JUARA CP125 MUSIM 2021

Mohd Adib Rosley berjaya meletakkan dirinya sebagai juara keseluruhan bagi kategori CP125 di Kejuaraan Petronas Malaysia Cub Prix musim 2021 dipusingan 9 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (Selatan) hari ini. Walaupun menamatkan kedudukan di tempat ke 6, namun ianya sudah mencukupi untuk Adib mengesahkan dirinya sebagai juara baru setelah sebelas tahun bertungkus lumus.

Persaingan yang rapat dan hebat dalam kategori CP125 bermula dengan Mohd Harith Farhan Baharin dari Tuneboss Pink Racing di petak pertama. Namun, Harith hanya mampu bertahan di kedudukan pendahulu selama satu lap, sehingga dipintas oleh Mohd Syafiq Rosli dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor pada lap kedua.

Syafiq mendahului selama tiga lap, tetapi menghadapi tekanan sengit dari rakan sepasukannya sendiri, Mohd Aliff Danial Mohd Asri. Di belakang dua pelumba Maju Motor tersebut, duo pasukan Ipone Yamaha YY Pang Racing Team – Mohd Fareez Afeez abd Rahman dan pendahulu kejuaraan Mohd Adib Rosley, mula mengorak langkah.

Dua lap sebelum tamat perlumbaan, Fareez berjaya menempatkan diri di kalangan tiga pelumba teratas. Pada lap terakhir, Fareez membuat kejutan apabila sempat memintas dua pelumba di hadapan dan berjaya menduduki tempat pertama dengan catatan masa 12’39.734s. Mohd Syafiq Rosli terpaksa akur di tempat kedua manakala tempat ketiga jatuh ke tangan Mohd Harith Farhan Baharin.

Sumber Berita : Malaysian Cubprix

Leave a Reply

Your email address will not be published.