AKID KEMBALI KE PODIUM DIPUSINGAN 4 MCP 2021

AKID KEMBALI KE PODIUM DIPUSINGAN 4 MCP 2021

Nama Mohd Akid Aziz sememangnya tidak asing dalam arena Kejohanan PETRONAS Malaysian Cub Prix. Sejak musim 2017 lagi, nama ini sering disebut sebagai antara favorit untuk memenangi takhta kategori perdana kejohanan.

Musim ini, apabila Akid mengambil keputusan berpindah dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor ke pasukan ONEXOX TKKR Racing Team, nama Akid Aziz seakan tiba-tiba hilang dari ingatan.

Setelah beraksi selama lima tahun bersama pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, pemindahan ke pasukan baharu tidaklah semudah yang disangka.

“Dua pusingan pertama sememangnya amat sukar untuk saya dan juga kru pasukan ONEXOX TKKR Racing Team. Pasukan baharu saya mempunyai pendekatan mereka yang tersendiri. Kami memerlukan masa untuk saling-memahami,” jelas Akid.

“Saya begitu berterima kasih kepada pasukan ONEXOX TKKR Racing Team di atas usaha keras mereka selama ini. Akhirnya, saya dapat beraksi seperti dahulu!” kata Akid apabila berjaya memenangi perlumbaan Pusingan 4 dengan catatan masa 15’03.215s.

Tempat ke-2 dirampas oleh Ahmad Afif Amran, 0.052 saat di belakang Akid. Nazirul Izzat M. Bahauddin dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan 15’03.391s.

Dalam kategori CP125 pula, Mohd Fareez Afeez Abd Rahman bijak mengawal motosikal di atas litar yang teramat licin sehingga berjaya mencapai kemenangan pertamanya musim ini dengan catatan masa 12’43.707s.

“Perlumbaan ini seumpama mimpi. Saya hampir tidak percaya bahawa saya keseorangan di depan perlumbaan,” kata Fareez yang melintasi garisan penamat 7.311 saat di hadapan pelumba-pelumba lain.

“Permukaan litar Sepang amat licin selepas hujan lebat. Dalam situasi ini, pelumba harus bijak mengawal strategi supaya tidak begitu agresif,” jelas Fareez lagi.

Tempat kedua dimenangi Mohd Aliff Danial Mohd Asri dengan catatan masa 12’51.018s. Mohd Hafiza Rofa merakamkan podium ketiga musim ini di tempat ketiga dengan 12’52.183s.

Akhir sekali, dominasi pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing dalam kategori Wira KBS berakhir. Daripada empat pelumba yang ditaruhkan, hanya Danial Johan yang berjaya memenangi kedudukan podium di tempat pertama dengan catatan masa 10’10.129s.

Rakan sepasukan Danial, Mohd Syamil Amsyar Mohd Iffende, Mohd Aqil Danial Nasrul dan Mohd Danish Aiman Zamrul mengalami kemalangan pada permulaan perlumbaan.

Ini membuka ruang kepada Mohd Harith Haziq Zamri dari pasukan Castrol Power1 Honda Team. Haziq menamatkan perlumbaan di tempat kedua, 3.012 saat di belakang Danial Johan. Mohd Irfan Haykhal Amidi dari pasukan Moto1 Koyoko Honda KC Racing menewaskan Mohd Idlan Haqimi Raduan untuk meragut tempat ke-tiga.

Pusingan 5 dan 6 Kejohanan PETRONAS Malaysian Cub Prix akan berlangsung di Litar Permotoran Terengganu pada 2hb dan 3hb Oktober bulan depan.


CP150 FINAL

1. Mohd Akid Aziz (Yamaha, ONEXOX TKKR Racing Team), 15’03.215s

2. Ahmad Afif Amran (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing), 15’03.267s

3. Nazirul Izzat Mohd Bahauddin (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor), 15’03.391s

CP150 STANDINGS

1. Azroy Hakeem Anuar (Honda, Honda Yuzy Idemitsu Team), 58 pts

2. Nazirul Izzat Bahauddin (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor), 45 pts

3. Mohd Muzakkir Mohamed (Yamaha, ONEXOX TKKR Racing Team), 42 pts

CP125 FINAL

1. Mohd Fareez Afeez Abd Rahman (Yamaha, Ipone Yamaha YY Pang Racing Team), 12’43.707s

2. Mohd Aliff Danial Mohd Asri (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor), 12’51.018s

3. Mohd Hafiza Rofa (Yamaha, ONEXOX TKKR Racing Team), 12’52.183s

CP125 STANDINGS

1. Mohd Fareez Afeez Abd Rahman (Yamaha, Ipone Yamaha YY Pang Racing Team), 74 pts

2. Mohd Adib Rosley (Yamaha, Ipone Yamaha YY Pang Racing Team), 64 pts

3. Mohd Hafiza Rofa (Yamaha, ONEXOX TKKR Racing Team), 61 pts


Sumber Berita : Malaysian Cub Prix

Leave a Reply

Your email address will not be published.