SAINGAN SENGIT CUB PRIX 2021 BERSAMBUNG

SAINGAN SENGIT CUB PRIX 2021 BERSAMBUNG

Saingan sengit CP150 bakal bersambung minggu ini di Litar Sepang Utara setelah Kejuaraan PETRONAS Cub Prix Malaysia tertangguh lebih 5 bulan akibat Covid-19. Saingan CP150 musim ini agak sengit menyaksikan enam pelumba berbeza bertukar kedudukan podium.

Selepas tamat dua pusingan, Nazirul Izzat Bahauddin yang mewakili pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor mendahului kedudukan keseluruhan dengan 29 mata setelah berjaya melakar kemenangan pertama bersama pasukan baharunya itu. Kemenangan tersebut membolehkan beliau merampas persada kejuaraan daripada pelumba ONEXOX TKKR Racing Team, Muzakkir Mohamed dengan hanya perbezaan 1 mata. Muzakkir yang mencipta kejutan dengan kemenangan sulung peribadi dalam kelas premier pada perlumbaan pembukaan musim ini hanya mengutip 3 mata untuk berada di tempat kedua keseluruhan.   

Pelumba ‘rookie’ paling cemerlang musim lalu, Izam Ikmal membuktikan bahawa beliau mampu bersaing dengan pelumba-pelumba senior apabila kini berada di tangga ketiga dengan keseluruhan 25 mata, hanya 3 mata dari pendahulu kejuaraan. Pelumba SCK Honda Racing Team itu berjaya mencuri kedudukan podium Pusingan 2 dengan menduduki tempat ketiga dalam perlumbaan yang sangat sengit dan mendebarkan. Md Izzat Zaidi Md Salehan dari Ipone Yamaha YY Pang Racing Team yang menduduki tempat kedua pada Pusingan 1 jatuh dua kedudukan apabila hanya berjaya mengutip 1 mata pada Pusingan 2. Izzat kini berada di tempat keempat dengan 21 mata.

Kekecewaan Azroy Hakeem Anuar yang gagal memulakan perlumbaan pada Pusingan 1 disebabkan masalah teknikal sejurus sebelum perlumbaan sedikit terubat apabila menamatkan perlumbaan Pusingan 2 di tempat kedua. 20 mata tersebut melonjakkan beliau ke tangga kelima keseluruhan.

Affendi Rosli yang juga mengumpul 20 mata di tempat keenam mendahului rakan sepasukan Aiman Tahiruddin dan Ahmad Afif Amran di tempat kelima dan keenam dengan masing-masing mengumpul 19 dan 18 mata. Prestasi seimbang ketiga-tiga pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing ini membolehkan mereka kini mendahului kedudukan keseluruhan pasukan dengan jumlah 48 mata, mendahului ONEXOX TKKR Racing Team dengan jurang 3 mata manakala PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor di tempat ketiga setelah mengumpul 40 mata.

Juara bertahan CP150, Helmi Azman dari pasukan SCK Honda Racing Team masih belum berpeluang menjejakkan kaki ke podium kini berada di tangga kesembilan dengan 15 mata manakala pelumba senior Ahmad Fazrul Sham yang kini bersama Yamaha GENBLU AHM Motor Sports yang mengutip 13 mata melengkapkan senarai 10 pelumba teratas keseluruhan CP150 selepas 2 pusingan.

Perlumbaan CP150 pada minggu ini pastinya menjanjikan debaran apabila mana-mana pelumba dilihat mampu untuk menjejakkan kaki ke atas podium.

Dalam pada itu, Adib Rosley yang mengungguli kelas CP125 dengan dua podium dan satu kemenangan mendahului juara musim lalu, Syafiq Rosli dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor dengan perbezaan 6 mata. Syafiq yang memenangi perlumbaan sulung musim ini hanya mengumpul 10 mata pada pusingan lalu untuk berada di tempat kedua. Rakan sepasukan Adib dari Ipone Yamaha YY Pang Racing Team, Fareez Afeez Abd Rahman kini di tempat ketiga berkongsi 29 mata dengan Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff dari PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing. Pelumba ONEXOX TKKR Racing Team, Hafiza Rofa yang gagal menamatkan perlumbaan setelah terjatuh ketika memimpin perlumbaan pembukaan mengisi kedudukan kelima dengan 20 mata apabila menduduki tempat kedua pada perlumbaan lalu.

Ipone Yamaha YY Pang Racing Team kini selesa mendahului kedudukan keseluruhan pasukan dengan 70 mata diikuti PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor dengan 49 mata dan ONEXOX TKKR Racing Team di tempat ketiga dengan 38 mata.

Kategori Wira KBS menyaksikan dominasi pelumba-pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing apabila kedua-dua pelumba mereka Md Aqil Danial Nasrul dan Md Syamil Amsyar Md Iffende mengumpul 41 mata mendahului pelumba lain. Rakan sepasukan mereka, Danial Johan berada di kedudukan ketiga hanya dengan perbezaan satu mata.

Setelah berselang lebih 5 bulan, semua pelumba ternyata tidak sabar untuk kembali beraksi pada Pusingan 3 dan 4 yang akan berlangsung di Litar Sepang Utara dari 17-19 September 2021 ini yang akan bersiaran langsung di facebook Malaysian Cub Prix. Penonton siaran langsung ini juga berpeluang memenangi sebuah motosikal pada setiap pusingan serta pelbagai hadiah bernilai RM100,000 dalam peraduan ‘Siapa Punya Motor?’.

sumber Malaysian Cub Prix

Leave a Reply

Your email address will not be published.