LITAR SEPANG MASIH DALAM GENGGAMAN HELMI AZMAN

LITAR SEPANG MASIH DALAM GENGGAMAN HELMI AZMAN

Pelumba Hi-Rev SCK Honda Racing, Mohd Helmi Azman, seakan tiada tandingan di Litar Sepang apabila berjaya merakam kemenangan ketiga pada musim ini, di Litar Utara Sepang pada Pusingan 5 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS.

Walaupun terpaksa memulakan perlumbaan dari barisan kedua setelah mencatat masa ke-enam terpantas dalam sesi ShootOut CP150, strategi perlumbaan pelumba Honda tersebut nyata tidak terjejas. Helmi mengekalkan kedudukannya dalam kelompok pertama untuk sembilan lap pertama, manakala Mohd Aiman Tahiruddin, Mohd Haziq Mohd Fairues, Affendi Rosli, Azroy Hakeem Anuar, Akid Aziz dan Ahmad Fazli Sham bergilir-gilir memimpin perlumbaan sepanjang 11 pusingan itu.

Meskipun hanya mula mengorak langkah pada pusingan ke-10, Helmi masih berjaya mengenepikan tentangan hebat dari Ahmad Afif Amran (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing) dan pendahulu kejuaraan Azroy Hakeem Anuar (Idemitsu Honda Yuzy Racing) di garisan penamat.

Kemenangan Helmi yang ketiga pada musim ini dicatat dengan masa 14’38.112s.

“Itu sememangnya strategi perlumbaan pasukan kami untuk pusingan ini. Agak mustahil bagi seseorang pelumba untuk mengekalkan kedudukan di tempat pertama untuk perlumbaan sepanjang 11 pusingan di atas litar yang panjang dan lebar seperti Sepang. Jadi, saya hanya berancang menunggu sehingga pusingan terakhir sebelum membuat serangan. Syukur, strategi tersebut menjadi pada perlumbaan tadi,” kata Helmi.

Afif terpaksa berpuas hati di tempat ke-2 dengan catatan masa 14’28.120s. Ini adalah podium pertama bagi Afif dalam musim 2020. Kedudukan ketiga disambar oleh Azroy Hakeem Anuar dengan catatan masa 14’38.142s.

Dengan kemenangan terbaharu dari Helmi Azman ini, kedudukan Azroy di atas tangga keseluruhan CP150 semakin tergugat. Azroy kini hanya mendahului kejuaraan dengan 97 mata, 6 mata di hadapan Helmi Azman. Sementara itu, kedudukan kedua-dua pelumba Honda ini semakin sukar digugat oleh pesaing lain. Pesaing terdekat di tangga ke-tiga, Mohd Aiman Tahiruddin, ketinggalan 35 mata di belakang Helmi dengan jumlah 56 mata selepas lima pusingan ditamatkan.

Dalam perkembangan lain, Mohd Syafiq Rosli dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor berjaya memenangi perlumbaan CP125 Pusingan 5 dengan catatan masa 11’14.252s. Tempat ke-2 jatuh ke tangan Mohd Fareez Afeez Abd Rahman yang mewakili pasukan IPONE Yamaha YY Pang Racing Team manakala Mohd Hafiza Rofa yang memulakan perlumbaan dari petak pertama menamatkan perlumbaan di tempat ke-tiga dengan catatan masa 11’14.342s.

Kemenangan Syafiq itu berjaya mengekang kemaraan pelumba-pelumba taruhan pasukan ONEXOX TKKR Racing Team dari terus mara mendominasi buruan takhta CP125. Syafiq Rosli kini memimpin kategori pertengahan ini dengan 81 mata. Mohd Shafiq Rasol turun ke tangga ke-2 dengan 74 mata selepas menamatkan perlumbaan Pusingan 5 di tempat ke-9.

Leave a Reply

Your email address will not be published.